SUKAN > BERITA

Azimat Ibu Dorong Kayuhan Emas Muhammad ‘Afi Danial

17/08/2024 04:08 PM

KUCHING, 17 Ogos (Bernama) -- Hanya perbualan singkat bersama ibu tercinta, Mohamad ‘Afi Danial Ramli yang pada awalnya tidak yakin dengan kemampuan, kembali bersemangat untuk mengutip pingat emas peribadi keduanya menerusi acara kriterium lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.

Kata-kata azimat ibunya Hazlina Md Taberi menerusi panggilan telefon sebelum perlumbaan di Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem menjadi pembakar semangat paling ampuh buat pelumba Terengganu itu untuk tiba lebih awal di garisan penamat.

“Malam tadi saya tak boleh tidur sebab asyik fikir laluan hari ini sukar terutama dalam dua pusingan U yang perlu dilakukan. Saya jadi tidak yakin langsung bukan sahaja untuk raih emas tapi apa-apa pingat pun.

“Namun, satu panggilan kepada mommy (ibu) pagi tadi mengubah segalanya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Mohamad ‘Afi yang membuat penampilan terakhirnya di pentas SUKMA, meraih pingat emas acara kriterium lelaki selepas mengutip 19 mata, diikuti rakan sepasukan Muhamad Iqbal Daniel Mohd Nawawi yang mengumpul 16 mata untuk perak.

Muhammad Hafiq Mohd Jafri yang mewakili Melaka pula meraih pingat gangsa dengan 13 mata.

Sementara itu, pemenang pingat emas kategori wanita dengan 20 mata Nur Fitriah Shaari pula mendedikasikan kemenangannya kepada ketua jurulatih berbasikal SUKMA Kedah Noor Alfizar Othman atau mesra dipanggil Acu.

“Ini emas untuk Acu, saya tidak sangka mampu raih emas hari ini tapi beliau banyak berkorban untuk kami, yakinkan kami untuk lakukan yang terbaik. Terima kasih Acu,” katanya yang mengutip emas acara lepas beramai-ramai berpasukan.

Nur Fitriah yang akan beraksi dalam acara berbasikal bukit pada Rabu depan berharap dapat meneruskan momentum kemenangan untuk menambah koleksi pingat peribadinya.

Pelumba berusia 20 tahun itu setakat ini telah mengumpul dua pingat emas menerusi acara kriterium dan lepas beramai-ramai berpasukan wanita serta pingat perak dalam acara lepas beramai-ramai individu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan