SUKAN > BERITA

Tuah Kaki Panjang Putera Arsyad Butirkan Emas

17/08/2024 09:54 PM

KUCHING, 17 Ogos (Bernama) -- Kelebihan berkaki panjang ternyata memberi tuah kepada atlet taekwondo Pahang Putera Arsyad Danish Mohd Afrizan selepas berjaya menyambar pingat emas dalam acara 68 kilogram (kg) lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang berlangsung di Stadium Perpaduan di sini, malam ini.

Lebih manis, ia merupakan kilauan emas pertama Pahang dalam sukan taekwondo pada edisi kali ini sekali gus menghadirkan kegembiraan dan meniupkan semangat kontinjen.

Pada aksi penentuan pingat emas yang berlangsung sengit, kelebihan berkaki panjang digunakan sepenuhnya Putera Arsyad yang memiliki ketinggian 193 sentimeter (cm) untuk mengutip seberapa banyak mata bagi menewaskan Joseph Wong Shou Ho dari Sarawak dengan keputusan 2-1.

Atlet berusia 18 tahun itu yang membuat debut SUKMA mengakui kelebihan itu antara senjata utama untuk menundukkan pencabarnya terutama ketika berdepan lawan yang lebih rendah.

“Gaya saya kena banyak main jarak sebab saya berkaki panjang dan lawan orang pendek, orang pendek kalau sepak saya dulu tak sampai sebab kaki saya sampai dulu. Jadi sebab itu saya kena kekal bermain jarak jauh, saya rasa kelebihan kaki panjang banyak bantu saya,” katanya ketika ditemui di sini.

Putera Arsyad menyifatkan pencapaiannya itu ibarat mimpi menjadi kenyataan apabila SUKMA edisi ke-21 kali ini merupakan pertandingan terbesarnya sepanjang bergelar atlet.

Pingat gangsa acara itu dikongsi bersama Muhammad Haziq Haikal Mohd Khalid dari Terengganu dan wakil Wilayah Persekutuan Muhammad Iz’aan Haziq Nor Nasrul.

Dalam pada itu, Terengganu turut merangkul emas pertama menerusi Hoo Ee Jean yang menewaskan Yap Pui Teng dari Pulau Pinang dalam pertarungan penentuan pingat emas acara 57kg wanita.

Melengkapkan kedudukan podium ialah wakil tuan rumah Eileen Li Ching Chang dan Norhanis Erna Natasha Mohd Hufzaini dari Perak.

Taekwondo akan terus menyajikan aksi-aksi menarik dengan enam emas menjadi rebutan esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan