SUKAN > BERITA

Sarawak Sapu Bersih Empat Emas Poomsae

17/08/2024 02:44 PM

KUCHING, 17 Ogos (Bernama) -- Sarawak berada dalam kelas tersendiri selepas menyapu bersih keseluruhan empat pingat emas kategori poomsae pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang berlangsung di Stadium Perpaduan di sini hari ini.

Episod kecemerlangan skuad Bumi Kenyalang bermula selepas gandingan Fedealis Kom Twim-Farah Nabilla Maddarus memenangi saingan final gaya bebas berpasangan campuran dengan kutipan mata tertinggi 6.24 sekali gus meniupkan semangat rakan sepasukan.

Kilauan emas kedua Sarawak hadir menerusi Chin Ken Haw selepas mengutip 7.23 mata untuk mengungguli acara gaya bebas individu lelaki sebelum Zara Nur Zafirah Mohd Yusof menyambar emas gaya bebas individu wanita dengan kutipan mata 6.50.

Momentum itu kemudian diteruskan trio Fedealis-Ken Haw-Randy Owen Augustine Linggi dalam acara gaya bebas berpasukan terbuka yang menyaksikan mereka mengumpul 7.13 mata untuk menghadiahkan emas keempat buat kontinjen tuan rumah.

Bercakap kepada pemberita selepas aksi final keduanya, pemenang dua emas Ken Haw menyifatkan pengorbanan beliau beraksi dalam keadaan menahan sakit susulan kecederaan kaki berbaloi selepas dapat membantu Sarawak mencipta kejayaan hebat di laman sendiri.

“Saya rasakan prestasi saya baik hari ini, saya sudah lakukan yang terbaik saya boleh berikan, saya belum pulih daripada kecederaan kaki, saya tidak mampu berjalan minggu lepas, namun banyak yang saya boleh perbaiki.

“Saya terfikir untuk tarik diri tapi ini SUKMA pertama dan terakhir saya, jadi saya mahu teruskan untuk mewakili Sarawak beraksi di laman sendiri,” kata atlet Program Podium berusia 20 tahun itu.

Secara keseluruhan, Sarawak mengumpul keseluruhan tujuh emas dalam kategori poomsae yang melabuhkan tirai saingan hari ini selepas turut menggondol tiga emas semalam.

Tumpuan kini terarah kepada acara membabitkan kategori tempur yang dijadual berlangsung hingga Selasa depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan