SUKAN > BERITA

SUKMA Platform Lahir Atlet Elit Negara Ke Olimpik - Hannah

17/08/2024 10:17 PM

KUCHING, 17 Ogos (Bernama) -- Sukan Malaysia (SUKMA) merupakan platform penting untuk menyediakan atlet elit negara beraksi di Sukan Olimpik, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata seorang atlet Olimpik tidak muncul begitu sahaja dan prestasi mereka adalah hasil usaha selama bertahun lamanya.

“Bakat yang kita asah di peringkat daerah, di peringkat negeri seperti SUKMA inilah bakat yang menjadi harapan negara di temasya sukan antarabangsa.

“Atlet kita di sini, adalah bakal atlet kita di Olimpik kelak. Mungkin dalam kalangan kita, ada atlet Olimpik Brisbane 2032. Itulah pentingnya platform seperti SUKMA yang perlu diberi penekanan yang lebih tinggi,” katanya.

Hannah berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian SUKMA 2024 yang berlangsung di Stadium Sarawak di sini malam ini. 

Beliau turut menekankan mengenai kepentingan semangat kesukanan sama ada semasa atau selepas bertanding.

Hannah berkata tuan rumah Sarawak juga adalah tempat terbaik untuk merealisasikan semangat perpaduan.

“Apabila saya melihat keliling stadium ini, saya merasakan bahawa ini adalah Malaysia.  Atlet muda dari seluruh pelosok negara di satu tempat.

“Sebagai atlet muda negara yang mempunyai penyokong dan peminat yang ramai, anda semua mempunyai peranan untuk memastikan ekosistem sukan yang mengutamakan perpaduan, menggalakkan persaingan sihat dan tidak toksik,” katanya.

SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

Sempena SUKMA 2024 yang membuka tirai secara rasmi hari ini hingga 24 Ogos, Bernama memperkenalkan laman web khas sukma.bernama.com yang menyajikan berita berkaitan perkembangan semasa kontinjen negeri dan pencapaian mahupun cerita menarik atlet terlibat dalam temasya sukan dwitahunan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan