SUKAN > BERITA

Liga Super: Perlawanan Perak FC-JDT Tunda Akibat Faktor Cuaca

18/08/2024 12:48 AM

IPOH, 17 Ogos (Bernama) -- Perlawanan Liga Super ANTARA Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak malam ini terpaksa ditunda ke tarikh baharu ekoran faktor cuaca buruk dan keadaan padang yang tidak mengizinkan.

Perkara tersebut dimaklumkan melalui pengumuman yang dibuat oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selain tarikh baharu perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan akan diumumkan kelak.

Terdahulu, perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 9 malam itu tertangguh berikutan cuaca hujan lebat melanda bandar Ipoh sejak  7.30 malam.

Situasi itu menyebabkan permukaan padang di Stadium Perak di sini digenang air, sekali gus menyaksikan perlawanan dianjakkan kepada jam 9.50 malam. 

Tepat 9.40 malam, Komisioner Perlawanan, Teo Hee Leon dan barisan pengadil yang diketuai oleh Razlan Joffri Ali telah keluar memeriksa keadaan padang. 

Setelah membuat penilaian bersama, MFL memutuskan perlawanan tidak dapat dilangsungkan dan perlu ditunda ke tarikh lain.

Sementara itu, dilihat kira-kira 50 penyokong Perak FC mencetuskan provokasi kepada penyokong JDT ketika perlawanan yang sepatutnya dijadualkan bermula 9 malam itu tertangguh sementara. 

Provokasi kecil itu berlaku kira-kira 15 minit apabila mereka menghampiri  kawasan pelawat, namun berjaya dileraikan pihak polis yang meminta penyokong Perak FC kembali ke kawasan mereka. 

Sungguhpun begitu, kedegilan mereka telah memaksa pasukan keselamatan bertindak dan menahan beberapa individu bagi menyuraikan provokasi. 

Bagaimanapun tiada insiden pergaduhan berlaku antara penyokong tuan rumah dan pelawat dan kedua-dua pihak berjaya ditenteramkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan