SUKAN > BERITA

Sarawak Tempah Tiket Separuh Akhir Badminton Berpasukan Campuran

19/08/2024 03:14 PM

SIBU, 19 Ogos (Bernama) -- Sarawak melangkah ke pentas separuh akhir badminton berpasukan campuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dengan bergaya apabila menewaskan Perak 3-1 dalam aksi suku akhir berlangsung di Stadium Tertutup Sibu hari ini.

Mata pertama Sarawak diperoleh menerusi perseorangan wanita Wong Ling Ching yang menewaskan Nur Aina Maisarah Muhamad Hatta 21-10, 21-9.

Namun, pelapis kebangsaan lelaki Perak Eogene Ewe Eon menyamakan kedudukan selepas mengalahkan Goh Shun Huat 21-16, 21-18.

Sarawak kembali di hadapan apabila beregu campuran Jeremy Zhen Liang-Kashley Tze Yin mudah mengatasi gandingan Ng Jhi Hao-Vannee Gobi Yap 21-17, 21-18.

Beregu wanita tuan rumah Genevie Tsin Yee-Lee Zi Zuen muncul wira apabila menyumbang mata kemenangan selepas menewaskan Cheng Pei En dan Chong Jie Yu 21-18, 21-18.

Sementara itu, Jeremy berkata mereka akan menghadapi saingan sengit apabila kembali berdepan pasukan Selangor pada saingan separuh akhir nanti.

“Saya berharap kami semua dapat beraksi dengan baik untuk perlawanan separuh akhir menentang Selangor.

“Walaupun pernah tewas sebelum ini, tapi kami tidak menyerah kalah dan akan berjuang sebaik mungkin,” katanya selepas perlawanan di sini hari ini.

Selangor melangkah ke separuh akhir selepas mudah menewaskan Negeri Sembilan 3-0 

Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan akan membuat perhitungan dalam satu lagi aksi separuh akhir setelah menewaskan lawan masing-masing di peringkat suku akhir hari ini.

Pulau Pinang menewaskan Melaka 3-0 manakala Wilayah Persekutuan melakar kemenangan dramatik 3-2 ke atas Johor.

Saingan separuh akhir dijadual berlangsung petang ini di stadium sama.

— BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan