AM > BERITA

Pendekatan Pelbagai Aspek Perlu Bagi Menangani Rasuah Penjawat Awam - Lee Lam Thye

19/08/2024 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Pendekatan pelbagai aspek diperlukan untuk memerangi rasuah secara berkesan dalam kalangan penjawat awam, kata ahli Institut Integriti Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye.

Aktivis sosial terkenal itu berkata langkah meningkatkan gaji tanpa diiringi pembaharuan dalam tadbir urus, latihan etika, ketelusan, integriti, dan perlindungan pemberi maklumat, ia tidak mungkin dapat membawa perubahan yang ketara.

Ketika kerajaan mengumumkan rancangannya untuk menaikkan gaji kakitangan awam, Lee memberi amaran bahawa langkah menaikkan gaji semata-mata, tanpa diserta dengan pembaharuan struktur seperti perubahan kepada proses pengambilan dan peluang pembangunan kerjaya, ia tidak akan mencukupi untuk menangani amalan rasuah.

“Tanpa perubahan minda dan budaya di sekeliling perkhidmatan awam, gaji yang lebih tinggi sekalipun mungkin tidak dapat menghalang amalan rasuah. Sekiranya sistem akauntabiliti, ketelusan, etika, dan integriti lemah, gaji yang lebih tinggi pun tidak akan memberi kesan yang diingini,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan melaksanakan cara baharu dan inovatif untuk menyokong usaha mengurangkan atau menghapuskan rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Lee seterusnya mengesyorkan penggunaan kecerdasan buatan dan analisis data untuk memantau tingkah laku penjawat awam dan mengenal pasti corak yang mungkin menunjukkan amalan rasuah.

“Ramai penjawat awam yang rasuah melihat amalan mengambil rasuah itu sebagai cara mudah untuk meningkatkan pendapatan tidak sah mereka. Jika orang ramai terus melihat sesetengah penjawat awam sebagai pengamal rasuah, kenaikan gaji mungkin tidak mengubah persepsi ini,” katanya.

“Oleh itu perhubungan awam yang berkesan, pendidikan etika, dan penglibatan masyarakat adalah perlu untuk memupuk kepercayaan. Di samping itu kerajaan boleh membangunkan satu sistem yang membawa penjawat awam, ahli teknologi, ahli akademik dan NGO, berhimpun untuk memikirkan penyelesaian anti-rasuah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan