SUKAN > BERITA

Jurulatih Harap Latif Romly Tidak Sia-siakan Setiap Lompatan Di Paris

20/08/2024 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Jurulatih lompat jauh paralimpik Shahrul Amri Suhaimi berharap jaguh lompat jauh negara Datuk Abdul Latif Romly tidak mensia-siakan setiap lompatan dilakukannya di Sukan Paralimpik Paris 2024 yang akan membuka tirai 28 Ogos hingga 8 Sept ini. 

Shahrul mengakui sememangnya tugas berat buat atlet berusia 27 tahun yang lebih dikenali sebagai Latif Romly itu untuk mempertahankan pingat emas pada penampilan ketiga di temasya sukan berprestij itu, apatah lagi dengan kehadiran ramai pencabar muda yang dijangka membuat debut di Paris kelak. 

“Saya mengharapkan dia dapat melakukan lompatan terbaik dan tidak mensia-siakan setiap lompatan untuk kali ini. Kita membuat persediaan teknik dan larian ranap supaya dia tidak melakukan kesilapan yang boleh mengundang batal.

“Kami harapkan Latif melakukan terbaik, mengekalkan untuk kali ketiga pingat emas memang cabaran agak berat,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan skuad para olahraga di Mini Stadium Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini. 

Shahrul berkata berdasarkan prestasi semasa, latihan Latif Romly berada di landasan yang betul untuk melepasi catatan peribadi terbaik musim ini iaitu 7.37 meter (m).

Bagaimanapun, beliau tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada atlet kelahiran Perlis itu demi menghindari daripada berlakunya sebarang kecederaan semasa latihan mahupun ketika beraksi di Paris nanti. 

“Untuk elakkan kecederaan berulang kita perlu hati-hati, kurangkan intensiti. Maksudnya intensitinya kita tak boleh nak bebankan waktu ini, bagi Latif bebas dari sebarang tekanan,” katanya. 

Latif Romly merupakan pemenang pingat emas acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) di Sukan Paralimpik edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil dan Tokyo 2020, Jepun. 

Mei lepas, Latif Romly sekali lagi mencatat kejayaan membanggakan apabila merangkul gelaran dunia kali keempat di Kejohanan Olahraga Para Dunia Kobe 2024 di Jepun dengan lompatan 7.30m. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan