SUKAN > BERITA

Sambung Kontrak, Balas Jasa BAM Dengan Pingat Emas - Aaron

24/08/2024 01:03 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Keputusan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk terus setia di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah untuk membalas jasa persatuan itu dengan pingat emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028. 

Bercakap kepada Bernama, Aaron berkata beliau dan Wooi Yik menyambung kontrak bersama BAM kerana mahu membutirkan pingat emas buat badan induk itu susulan kejayaan dan sokongan yang diberikan kepada mereka sejak memulakan karier sebagai atlet kebangsaan. 

Ini termasuk pencapaian pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris baru-baru ini serta pada edisi Tokyo 2020 selain menjadi beregu lelaki pertama negara muncul juara Kejohanan Badminton Dunia pada 2022, katanya.

“Fikiran memang dengan BAM dan kita harap akan bawa balik pingat emas untuk bayar balik kepada BAM untuk berapa tahun (sokongan) sebelum ini BAM jaga kita, pingat emas ialah sasaran kedua-dua pihak, kami dan BAM. Harap dapatlah buat yang terbaik. 

“Saya rasa yang paling penting di BAM, fasiliti dewan latihan, sokongan, gim, fisioterapi, semua cukup, memang sokongan penuh di sini, bagi kita memang kita punya keutamaan masih cukup,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan ganjaran BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini. 

Semalam, BAM menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan Aaron-Wooi Yik menandatangani kontrak untuk kekal bersama persatuan itu hingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Pasangan itu sebelum ini mempertahankan pingat gangsa Olimpik selepas menewaskan pasangan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19, manakala Zii Jia meraih pingat gangsa dengan menewaskan Lashya Sen dari India 13-21, 21-16, 21-11 di Paris 2024. 

Susulan kejayaan itu BAM menghadiahkan ganjaran RM125,000 seorang kepada Aaron dan Wooi Yik selain barisan kejurulatihan dan staf sokongan turut menerima rangsangan berjumlah RM60,000. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan