SUKAN > BERITA

Rintangan Sebelum Ini Tidak Akan Halang Cita-cita Harimau Malaya - Vicente

03/09/2024 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Walaupun menghadapi perbagai rintangan sebelum ini termasuk peletakan jawatan secara mengejut bekas ketua jurulatih Kim Pan Gon, Malaysia tetap fokus ketika membuat persiapan untuk perlawanan separuh akhir Pestabola Merdeka 2024 menentang Filipina di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini esok.

Ketua Jurulatih Harimau Malaya yang baru dilantik Pau Marti Vicente melahirkan keyakinan terhadap pasukannya sambil menyatakan bahawa kedua-dua, pemain dan staf kejurulatihan telah menunjukkan dedikasi dan kerjasama tinggi sepanjang kem latihan pusat lima hari diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor bermula Khamis lepas.

Vicente yang sebelum ini berkhidmat sebagai pembantu Pan Gon menegaskan walaupun mereka tidak boleh mengubah masa lepas, mereka mempunyai kuasa untuk membentuk masa depan dengan merealisasikan potensi pasukan sepenuhnya.

“Saya fikir setakat ini situasi sangat positif, sudah tentu pada saya dan juga pemain, apa sahaja yang berlaku masa lepas tidak boleh mengganggu pasukan, kami perlu mengambil pengalaman dari perlawanan-perlawanan sebelumnya, tetapi satu-satunya perkara yang kami boleh ubah ialah masa depan,” kata jurulatih dari Sepanyol itu pada sidang akhbar pra-perlawanan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Vicente menyatakan beliau mahu pasukannya bermain secara menyerang sambil bijak membaca pelbagai corak taktikal pasukan lawan.

“Bagi saya, paling penting bukanlah corak permainan, tetapi bagaimana pemain kami bermain sepenuh hati dan bekerjasama kerana dalam bola sepak ada kalanya memihak kepada anda dan kadangkala tidak, bagaimanapun minat dan kesungguhan anda mesti sentiasa ada.

“Saya harap kami dapat memberi persembahan bola sepak yang baik, tetapi paling penting kami menunjukkan karakter kami,” katanya.

Perlawanan menentang Filipina akan menjadi penampilan sulung Vicente sebagai jurulatih pasukan berikutan pelantikannya selepas peletakan jawatan Pan Gon pada Julai lepas.

Sementara itu, Filipina datang ke sini tanpa persiapan yang ideal dan The Azkals juga menghadapi cabaran yang ketara selepas jurulatih mereka Tom Saintfiet meletak jawatan kurang seminggu sebelum perlawanan.

Jurulatih sementara pasukan itu Norman Fegidero Jr mengakui bahawa dia menghadapi cabaran getir dalam menyediakan pasukan untuk pertandingan ini.

“Kami berada dalam situasi yang sangat unik, jadi pasukan tiba semalam dan pemain-pemain lain akan sampai petang ini (kerana ketersediaan penerbangan dan komitmen pemain kepada kelab masing-masing). Jadi, boleh saya katakan ini merupakan cabaran yang sangat besar kepada saya dalam menyediakan pasukan,” katanya.

Di atas kertas, Vicente mempunyai peluang yang baik untuk mencapai kemenangan sulung kerana perlawanan esok dilihat memihak kepada Malaysia yang berada di ranking lebih baik iaitu 134 berbanding Filipina 147, selain faktor sebagai tuan rumah.

Satu lagi perlawanan separuh akhir Pestabola Merdeka esok menyaksikan juara bertahan Tajikistan menentang Lubnan di Stadium Nasional Bukit Jalil manakala perlawanan akhir dijadualkan pada Ahad di venue yang sama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan