SUKAN > BERITA

Perak FC Bijak Guna Peluang, Lakar Kemenangan Di Laman Lawan

29/09/2024 11:40 AM

TEMERLOH, 29 Sept (Bernama) -- Kejayaan membenam Sri Pahang FC 3-0 pada aksi Liga Super malam tadi adalah disebabkan peluang keemasan tidak dilepaskan dan dimanfaatkan sebaiknya untuk meledakkan gol, kata ketua jurulatih Perak FC Yusri Che Lah.

Beliau berkata faktor itu menjadi penentu kepada keputusan yang berpihak kepada pasukan bimbingannya sehingga membolehkan mereka membawa pulang tiga mata di tempat lawan.

"Kita bermula agak perlahan tetapi pujian harus diberikan kepada semua pemain kerana sudah melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

"Setiap peluang keemasan berjaya diakhiri dengan jaringan dan penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli turut tampil cemerlang apabila banyak menyelamatkan percubaan merbahaya lawan," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan. 

Yusri berkata bagi mengekalkan rentak kemenangan Perak FC, mereka perlu membaiki beberapa kelemahan terutama apabila berdepan pasukan lebih kuat.

"Apabila bermain dengan pasukan elit, kita jangan terlalu yakin sehingga boleh hilang konsentrasi seperti pada malam ini pemain dilihat sedikit alpa.

"Selepas menjaringkan gol pertama, kita membenarkan lawan masuk ke kawasan kita, situasi sama juga berlaku apabila kita menjaringkan gol kedua yang boleh mengundang kekalahan," katanya.

Sementara itu, pengendali Sri Pahang FC Fandi Ahmad menyifatkan kecederaan beberapa tonggak utama telah mengakibatkan persembahan anak buahnya tempang ketika berdepan Perak FC.

"Ada beberapa pemain cedera termasuk tiga pemain utama kita iaitu Aleksandar Cvetkovic, Stefano Brundo dan terbaharu Muhammad Syazwan Andik. Ini menyebabkan bahagian tengah dan pertahanan Sri Pahang kurang berkesan.

"Mereka ini yang selalu membantu jentera serangan dan bertahan dengan baik. Tanpa mereka, kita mudah hilang fokus lalu membuka peluang pihak lawan menyerang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan