SUKAN > BERITA

LTdL 2024: De Kleijn Kuasai Peringkat Keempat

02/10/2024 06:16 PM

BENTONG, 2 Okt (Bernama) -- Pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn merangkul kemenangan peringkat keempat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong sejauh 131.2 kilometer (km), hari ini.

Pelumba Belanda berusia 30 tahun itu berjaya melepasi saingan sengit daripada kelompok utama berbaki 300 meter ke garisan penamat, dengan catatan masa 2 jam 53 minit 37 saat (s) diikuti pelumba JCL Team UKYO, Matteo Malucelli dan pelumba Polti Kometa, Manuel Penalver Aniorte.

Komisar perlumbaan memberikan 10 pelumba terbaik catatan yang sama (2:53.37s), selepas kesemua mereka menamatkan pelumbaan secara kelompok dalam keadaan hujan.

"Ia juga agak sukar hari ini untuk pelumba pecut kerana ada zon pendakian (KOM 1 GAP) tetapi kesemua pelumba (kumpulan pengejar) melakukan kerja yang baik mengejar kumpulan di hadapan dan saya cuma fokus pada pemecutan.  

"Ia kemenangan yang baik untuk saya selepas melakukan kesilapan pada dua peringkat sebelum ini. Ia satu pengajaran yang berguna terutama dalam pecutan," katanya.

Dalam pada itu, perlumbaan peringkat keempat tadi turut menyaksikan pelumba DSM-Firmenich PostNL, Max Poole mengekalkan pemilikan jersi hijau (pendahulu keseluruhan) dengan jumlah masa 12:57.35s, biarpun beliau menamatkan saingan di tempat ke-34.

Sementara jersi putih atau pelumba terbaik Asia masih dipegang Manabu Ishibashi dari JCL Team UKYO manakala rakan sepasukannya Matteo Malucelli mempertahankan jersi jingga (Raja Pecut). 

Jersi polka dot (Raja Bukit) bagaimanapun disambar pelumba Burgos-BH, Mario Aparicio Munoz selepas menawan satu zon pendakian di GAP.

Esok, perlumbaan peringkat kelima akan berlangsung dari Kuala Lumpur ke Melaka dengan jarak perlumbaan sejauh 167.3km, menawarkan zon pecutan di Semenyih, Seremban dan Rembau selain zon pendakian di Ampang, Bukit Hantu dan Bukit Mantin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan