BERITA TERGEMPAR   The future of ASEAN must include Timor-Leste, whose inclusion will expand the region's economy and contribute to fulfilling our grand vision - PM Anwar | Laos secara rasmi serah kepengerusian ASEAN kepada Malaysia | 
 SUKAN > BERITA

Vicente Puji Persembahan Harimau Malaya Ketika Seri Menentang Auckland FC

11/10/2024 05:49 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) --  Ketua jurulatih skuad kebangsaan Pau Marti Vicente memuji anak buahnya kerana mempamerkan persembahan yang baik ketika mencatatkan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tahap 2 mereka menentang Auckland FC di Go Media Stadium, New Zealand hari ini.

Vicente berkata Harimau Malaya menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk mengikat kelab utama negara Kiwi itu yang disifatkannya sebagai pasukan yang mempunyai kekuatan setanding dengan pasukan kebangsaan New Zealand.

"Saya percaya kami mempunyai perlawanan yang sangat baik menentang Auckland FC. Saya fikir ia adalah kelab yang sangat kuat, kelab baru dalam Liga Australia. Mereka mempunyai pemain yang sangat bagus dan bagi kami, ia adalah ujian yang sangat baik, terutamanya kerana kami akan menentang New Zealand.

 “Kami menjangkakan rentak permainan yang sama iaitu sangat fizikal, sangat pantas dan intensiti sangat tinggi. Jadi, saya sangat gembira dengan komitmen pemain kita,” katanya dalam video yang dikongsi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Terdahulu, Auckland FC yang digelar The Black Knights mendahului menerusi jaringan pemain pertahanan berusia 29 tahun Francis de Vries pada minit ke-25.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Nooa Laine memadam kelebihan Auckland FC dengan jaringan pada minit ke-59.

Sebagai rekod, Harimau Malaya bertandang ke New Zealand untuk aksi persahabatan Tahap 1 menentang pasukan dari Oceania itu di Stadium North Harbour pada 14 Okt.

 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan