SUKAN > BERITA

Pembangunan Bola Sepak, Futsal Wanita Perlu Usaha Konsisten Semua Peringkat

17/10/2024 12:42 PM

Oleh Vikneswaran Raman

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Pembangunan bola sepak dan futsal wanita di negara ini memerlukan lebih banyak usaha yang konsisten dan berterusan daripada peringkat akar umbi sehingga elit supaya sekurang-kurangnya mampu mencabar pasukan pilihan di peringkat serantau. 

Padangan itu dikongsi oleh pemain bola sepak dan futsal wanita negara Fatin Shahida Azmi kepada Bernama sambil menyifatkan beberapa kejohanan dan program melibatkan wanita sebelum ini seolah-olah tenggelam timbul.

Bagaimanapun, beliau gembira dengan penganjuran berterusan Liga Super Wanita (WSL) anjuran Persatuan Bolasepak Selangor sejak 2021 serta Liga Wanita Nasional (LWN) kelolaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang buat julung kali menawarkan tiket ke pusingan pertama Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) (AFC Women’s Champions League) 2024 bagi juara edisi lepas iaitu Sabah.

Fatin Shahida, 33, yang pernah dinobatkan pemain terbaik Piala Tun Sharifah Rodziah 2022 berkata sama seperti bola sepak lelaki, platform pembangunan bagi golongan wanita juga harus bermula daripada peringkat bawah sehingga atas. 

“Sekarang hanya Selangor dan Kuala Lumpur anjurkan liga wanita. Bagi saya ini dikira baik kerana pada awal tahun saya akan beraksi di Liga WSL diikuti LWN, ada kejohanan sepanjang tahun. Saya juga aktif dalam futsal di peringkat kebangsaan sehingga bergelar juara Liga Futsal Kebangsaan sebanyak tiga kali. 

“Penyertaan dalam kejohanan sepanjang tahun akan bantu meningkatkan kualiti pemain dan talent pool wanita. Sebelum ini, ada kejohanan yang diperkenalkan namun sekejap sahaja,” katanya sambil menambah banyak cabaran harus ditempuhi oleh pemain wanita untuk berjaya dalam karier sukan berkenaan. 

Malaysia hanya pernah sekali meraih pingat Sukan SEA apabila melangkah ke final edisi 1995 di Chiang Mai, Thailand dalam 13 kali bola sepak wanita dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu manakala Vietnam dan Thailand menguasai acara berkenaan apabila masing-masing muncul juara sebanyak lapan dan lima kali.

Fatin Shahida mula tertarik dengan bola sepak selepas banyak meluangkan zaman kanak-kanaknya bermain sukan itu di Dungun, Terengganu bersama bapanya Azmi Salleh, abangnya Mohd Nazrul serta adik lelakinya Mohamad Shahrizal Azmi. 

Berkongsi perjalanannya, beliau berkata pada awalnya aktif bermain badminton sehingga peringkat negeri di Terengganu sebelum beralih ke futsal pada usia 17 tahun dan terus mendapat peluang mewakili pasukan T-Team.

“Pada waktu kecil, saya selalu main bola sepak dengan mereka di padang kecil berdekatan halaman rumah kerana teruja. Dari situ saya belajar cara gelecek, skil dan teknik lain. Setiap kali saya bermain bola sepak, saya rasa gembira dan macam hilangkan stres. 

“Apabila saya membuat keputusan untuk mengambil sukan ini dengan lebih serius dan pergi jauh, lebih daripada sekadar minat, semua ahli keluarga memberikan sokongan penuh kepada saya,” katanya yang bekerja sebagai Pembantu Penguatkuasa di Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Fatin Shahida, yang muncul juara WSL dua kali berturut-turut bersama MBSJ pada 2023 dan 2024, bertekad membantu skuad futsal kebangsaan meraih pingat emas pada Sukan SEA Thailand tahun depan, selepas berpuas hati dengan gangsa pada edisi 2013 di Myanmar dan 2021 di Vietnam. 

Walaupun belum terfikir untuk bersara tetapi beliau sudah mempunyai perancangan menjadi jurulatih selepas mengantung kasut but kelak. 

Fatin Shahida yang telah melengkapkan kursus kejurulatihan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk memperoleh Lesen C bagi bola sepak dan tahap 1 (level 1) untuk futsal, mahu mencurahkan ilmunya kepada generasi akan datang bermula daripada peringkat akar umbi.

Beliau turut terlibat sebagai jurulatih bagi Adidas Malaysia Girls Football Program (AMGFP) yang dilancarkan oleh legenda England David Beckham pada awal tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan