SUKAN > BERITA

Belanjawan 2025: Program Untuk LA28 Tidak Terhenti - Hannah

18/10/2024 10:55 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Rangka persiapan atlet negara menuju ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) tidak terhenti, selepas kerajaan terus menyediakan dana untuk program Road to Gold (RTG) seperti terkandung dalam Belanjawan 2025.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh optimis, dana tersebut yang merupakan sebahagian daripada peruntukan lebih RM230 juta untuk pembangunan sukan, mampu membuka ruang buat para atlet yang berada di bawah program RTG membuat persiapan awal, memburu emas sulung negara pada Sukan Olimpik 2028 kelak.

“Peruntukan pembangunan sukan RM230 juta sangat membantu program sukan yang kita ada, termasuk Program Podium dan RTG.

“Persiapan RTG ini adalah untuk dua kitaran Olimpik iaitu Paris 2024 dan LA28 bermaksud mereka sekarang boleh buat persiapan awal,” katanya selepas pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar berkata peruntukan lebih RM230 juta turut meliputi persiapan atlet para menjelang Sukan Para Dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025 serta RM15 juta kepada pasukan Harimau Malaya, pasukan bawah 18 tahun dan bawah 13 tahun, dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kerajaan bersetuju menyediakan RM20 juta untuk memperkasakan ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf arena e-sukan, manakala RM1 juta diperuntukkan bagi pembangunan sukan kriket.

Kerajaan juga mencadangkan pengecualian cukai pendapatan diberikan ke atas ganjaran hadiah wang tunai kemenangan sukan yang diterima pemenang atlet individu dan pasukan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan yang diberikan kerajaan melalui Majlis Sukan Negara.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan peruntukan untuk memperhebat pembangunan sukan merupakan permulaan baik bagi meneruskan kitaran kemajuan sukan tanah air.

Beliau berkata ia juga merupakan langkah positif bagi mempersiapkan atlet negara dengan latihan bertaraf dunia menjelang temasya sukan mendatang, seperti Sukan SEA Thailand 2025 dan LA28. 

“Kita juga lihat inisiatif yang dibentangkan Perdana Menteri bersifat inklusif, kerana tidak melupakan program untuk atlet para. Saya berharap kita dapat memanfaatkannya sebaiknya untuk meneruskan cycle atlet kebangsaan dan pembangunan sukan negara,” katanya kepada Bernama.

Mohamad Norza berkata peruntukan untuk pembangunan sukan bola sepak dan pengecualian cukai bagi penerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan juga menunjukkan penghargaan kerajaan terhadap kecemerlangan sukan.

Bagi Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dapat mempertimbangkan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada pihaknya.

Beliau berkata peruntukan tersebut yang akan diagihkan kepada 25 persatuan sukan para kebangsaan,  akan digunakan untuk tujuan pembangunan atlet yang berada di luar program Majlis Sukan Negara terutamanya bagi peringkat akar umbi.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) Muhammad Naim Al Amin Saharudin pula mencadangkan, sebahagian daripada dana RM20 juta kepada e-sukan digunakan untuk mencari bakat pelapis di peringkat sekolah.

Dengan pencarian pelapis tersebut, Muhammad Naim berkata MESF boleh memperkenalkan modul kokurikulum direka khas dengan kerjasama Kementerian Pendidikan di peringkat sekolah, merangkumi bukan sahaja permainan, malah cara menganjurkan pertandingan serta bantuan dari sudut kesihatan terhadap pemain terlibat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan