SUKAN > BERITA

Malaysia Tuan Rumah Persidangan Pembangunan Ragbi Dunia, Perkenalkan Ragbi T1

25/10/2024 07:59 PM

PETALING JAYA, 25 Okt (Bernama) --Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menganjurkan Persidangan Pembangunan Ragbi Dunia 2024 dengan matlamat mempromosikan sukan ragbi ke seluruh Asia melalui pengenalan versi baharu, ragbi T1, yang diperkenalkan sejak semalam.

Pengarah Penyertaan Ragbi Dunia Jason Lewis berkata  ragbi T1 merupakan versi baharu sukan berkenaan yang tidak melibatkan sentuhan fizikal tetapi tetap mengekalkan elemen-elemen teras seperti scrum, line out dan tendangan.

“Tidak semua orang berminat untuk bermain ragbi, terutamanya di Asia. Saya berpendapat mungkin terdapat permintaan bagi mereka yang ingin bermain dalam format tanpa sentuhan.

“Justeru, kami telah mengeluarkan elemen terjahan fizikal daripada permainan ini dan melarang sebarang bentuk sentuhan sambil mengekalkan elemen permainan yang sama seperti ragbi konvensional,” katanya.

Sementara itu, Perunding Pembangunan Ragbi Asia Mahfizul Islam menjelaskan bahawa ragbi T1 adalah penting dalam memberi pendedahan kepada mereka yang berminat terutamanya bagi mereka yang menganggap sukan ragbi berbahaya.

“Saya rasa T1 memberikan peluang yang baik untuk pemain bermain ke versi tanpa sentuhan dan kemudian mengembangkan diri mereka kepada versi dengan sentuhan.

“Perkara yang penting adalah meningkatkan penglibatan dalam permainan ini. Di negara-negara Arab dan seperti Pakistan dan Bangladesh, kesatuan wanita menghadapi cabaran untuk membangunkan sukan dengan sentuhan fizikal.

Oleh itu, ragbi tanpa sentuhan ini berpotensi untuk membantu mereka menyertai permainan yang menjadi matlamat kami,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pembangunan KRM Shahizam Tukiran berkata bahawa T1 boleh mencetuskan minat dalam kalangan komuniti yang ingin menyertai sukan ini daripada segi permainan dan teknik.

Beliau berkata KRM sentiasa menyokong dan mengalu-alukan pengenalan acara baharu ini di negara ini serta menggalakkan masyarakat untuk lebih mengenali ragbi T1.

 

Persidangan yang bermula semalam hingga esok menghimpunkan wakil dari 36 negara Asia termasuk negara seperti Mongolia, Guam, Arab Saudi dan Jordan bagi membincangkan strategi mengembangkan sukan ragbi di seluruh benua.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan