SUKAN > BERITA

PKBM Mahu Ubah Persepsi Penaja - Amarjit

31/10/2024 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Era baharu sukan berbasikal negara bermula 2025 akan memfokuskan ke arah meyakinkan penaja bagi menjamin kecemerlangan khususnya bagi skuad lebuh raya kebangsaan.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh berkata skuad lebuh raya perlu dibantu dengan segala cara selepas berjaya mencipta beberapa kejayaan termasuk memenangi emas pada Sukan SEA 2023 Kemboja.

Bagaimanapun, beliau mengakui PKBM sukar mendapat kepercayaan penaja bagi meneruskan rentak kegemilangan skuad lebuh raya kebangsaan yang pernah muncul pasukan terbaik Asia pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 1999.

“Saya difahamkan skuad lebuh raya Thailand menerima banyak penajaan daripada syarikat swasta negara itu, jadi kenapa perkara yang sama tidak berlaku di Malaysia?

“Pada mesyuarat Exco pertama yang dipengerusikan oleh saya, kita bincang secara kritikal berkaitan perkara ini. Kita mahu ubah persepsi bahawa PKBM ialah sebuah persatuan yang bermasalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, menyakinkan pihak penaja merupakan rumusan utama hasil Mesyuarat Exco yang kali pertama dipengerusikan Amarjit selaku Presiden baharu PKBM di sini minggu lepas.

Dalam pada itu, Amarjit yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) berharap akan ada penaja yang sudi tampil membantu skuad lebuh raya kebangsaan dalam persediaan menghadapi Sukan SEA 2025 Thailand.

Beliau berkata ketika ini skuad lebuh raya berlatih di dalam negara dan tidak menerima bantuan kewangan yang banyak seperti diterima skuad berbasikal trek negara.

Sebagai rekod, skuad lebuh raya menerima penajaan daripada syarikat terkemuka pada 1998 dan diteruskan dengan penajaan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), namun sejak akhir 2013 PKBM tidak lagi menerima penajaan atau bantuan kewangan khususnya daripada KBS.

Sementara itu, Mesyuarat Exco PKBM minggu lepas itu turut merombak beberapa biro dalam usaha memastikan persatuan berkenaan kekal relevan sebagai penyumbang tradisi pingat pada Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA.

 Amarjit mengekalkan kedudukannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Trek dan Tatatertib manakala Timbalannya Mazlan Md Jail mengetuai Jawatankuasa Antidoping.

Naib Presiden PKBM Norazman Abu Samah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Lebuh Raya manakala bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Cycling for All dan Pindaan serta Tugas-tugas Khas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan