SUKAN > BERITA

Kim Swee Mahu Terus Bersama Sabah FC

04/11/2024 06:12 PM

KOTA KINABALU, 4 Nov (Bernama) -- Datuk Ong Kim Swee kekal memilih Sabah FC sebagai pilihan utama untuk meneruskan tugasnya sebagai pengendali skuad itu pada musim akan datang.

Bagaimanapun, beliau menghormati apa saja keputusan yang akan dibuat oleh pengurusan Sabah FC sama ada untuk mengekalkannya atau sebaliknya.

Menurut Kim Swee, beliau kini masih menunggu keputusan pengurusan Sabah FC berhubung statusnya kerana kontrak pengendali berusia 53 tahun itu akan tamat pada 30 Nov ini selepas bersama pasukan itu sejak 2021.

“Saya sudah dimaklumkan oleh Pengurus Sabah FC Rafie Robert bahawa pengurusan akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan hala tuju pihak pengurusan.

“Bagi saya, saya sudah katakan dari awal bahawa Sabah FC adalah pilihan utama dan saya harus menghormati apa juga keputusan sama ada saya kekal atau tidak. Saya percaya ini akan memberi banyak spekulasi dan bagi saya tugas saya hanya akan berakhir buat masa ini, pada penghujung November,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Kim Swee berharap peminat Sang Badak bersabar menunggu keputusan yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Bekas pengendali skuad bawah 22 (B-22) kebangsaan itu mengambil alih Sabah FC daripada Kurniawan Dwi Yulianto dari Indonesia pada 2021, dan berjaya membawa Sang Badak ke kedudukan tiga terbaik Liga Super selain membimbing pasukan ke saingan Piala AFC tahun lepas.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan