KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui inisiatif Malaysian Indian Skills Initiative (MiSI) terus memperkukuh penyertaan tenaga kerja tempatan dalam industri golf dengan menyediakan latihan kemahiran dan jaminan pekerjaan kepada komuniti India.
AMS Caddy Academy dengan kerjasama Persatuan Golf Malaysia (MGA) telah melaksanakan program di bawah inisiatif berkenaan baru-baru ini, yang antara lain bertujuan menggalakkan belia India menceburi industri golf di Malaysia serta meningkatkan daya saing pekerja tempatan.
Dalam kenyataan hari ini AMS Caddy Academy berkata program di bawah MiSI itu bukan sahaja bertujuan menyediakan latihan kemahiran kepada peserta, tetapi turut menawarkan jaminan pekerjaan selepas tamat latihan.
“Para peserta menerima pakej manfaat yang menyeluruh, termasuk perlindungan insurans, pelan perkembangan kerjaya yang tersusun, serta gaji yang lebih tinggi daripada paras gaji minimum negara,” menurut kenyataan itu.
AMS Caddy Academy berkata satu majlis graduasi bagi kumpulan kedua peserta dalam Skim Latihan Kemahiran dengan Jaminan Pekerjaan telah diadakan di Palm Resort Golf & Country Club, Senai Johor baru-baru ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.
Dalam kenyataan sama, Teo berkata program itu memberi peluang kepada belia tempatan untuk menceburi sektor golf yang semakin berkembang.
“Saya dimaklumkan bahawa terdapat permintaan untuk 4,000 kedi di seluruh negara, namun hanya 2,000 yang tersedia di pasaran.
“Sebilangan besar jawatan ini diisi pekerja asing, sedangkan ia sepatutnya diisi rakyat tempatan. Saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan merebut peluang ini untuk membina kerjaya sebagai kedi profesional,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial