KUALA TERENGGANU, 7 April (Bernama) -- Pasukan Hoki Terengganu (THT) mempertaruhkan lima muka baharu bagi mengharungi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim 2026.
Jurulatih THT Mohd Harfizi Baharom berkata ia termasuk tiga pemain tempatan dan dua pemain import dari India serta Afrika Selatan yang berpengalaman di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata pemain tempatan adalah bekas pemain kebangsaan Muhammad Firhan Ashari, Alfarico Lance Liau Jr dan Mohammad Harris Iskandar Osman, manakala tonggak import adalah Dilraj Singh Gautam Singh serta Keenan Craig Horne.
"Musim ini pasukan THT tampil dengan kekuatan yang mantap. Sebanyak 85 peratus pemain merupakan tonggak sedia ada yang telah membuktikan kemampuan mereka sebelum ini.
"Digabungkan dengan beberapa pemain baharu termasuk pemain import dari Afrika Selatan dan India, ini adalah kombinasi yang seimbang antara pengalaman dan tenaga baharu yang mampu membawa pasukan ke tahap lebih tinggi," katanya pada Majlis Pelancaran Pasukan THT & Terengganu Women Sempena TNB MHL 2026, di sini hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Hishamuddin Abdul Karim. Turut hadir Presiden Persatuan Hoki Terengganu Mohd Fikri Harun.
Mohd Harfizi berkata THT kini dalam persiapan akhir untuk menghadapi cabaran TNB-Liga MHL, seterusnya mempertahan gelaran juara treble yang dimenangi tahun lepas.
Beliau berkata walaupun cabaran yang menanti skuad The Turtles tahun ini lebih getir, kehadiran lima pemain kebangsaan dan enam bekas tonggak kebangsaan dalam pasukan itu mampu membawa pasukan ke mercu kejayaan.
"Persediaan pasukan sudah berada pada fasa akhir. Hanya menunggu kehadiran pemain import dari India yang akan tiba 13 April ini. Dua import baharu ini ialah bekas pemain kebangsaan negara masing-masing.
"Lima tonggak kebangsaan yang memperkuat pasukan kali ini ialah pasangan adik beradik, Mohd Fitri Saari dan Faizal, Mughni Mohamad Kamal, Muhammad Arif Syafie Ishak dan penjaga gol Muhammad Hafizuddin Othman," katanya.
Ketika ditanya mengenai persiapan menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi cabaran Piala Sumbangsih pada 11 April ini, Mohd Harfizi berkata THT akan memberi persembahan terbaik bagi memastikan kemenangan menjadi milik mereka.
Beliau berkata walaupun pasukan TNB kali ini dibarisi ramai pemain kebangsaan, ia tidak melemahkan semangat pemain apatah lagi perlawanan kali ini berlangsung di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
"Lebih separuh daripada pemain TNB ialah pemain kebangsaan tetapi kita tidak akan mengalah. Kita akan beri tentangan sengit kepada pasukan pelawat dan saya mahu pemain gunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mempertahan gelaran juara Piala Sumbangsih," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial