KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) ThunderStars memasang impian merangkul gelaran treble saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2026 yang bakal membuka tirai hujung minggu ini, sekali gus menyekat dominasi seteru utama Pasukan Hoki Terengganu (THT).
Ketua jurulatih TNB Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor berkata mereka tidak boleh mempunyai alasan kali ini kerana pasukan bimbingannya dibarisi 16 pemain kebangsaan.
"Ya, tahun ini adalah jumlah paling ramai (pemain kebangsaan). Sebelum ini kita ada 12 orang.
"Pihak pengurusan meletakkan cabaran dan saya sahut cabaran itu. Kita akan cuba untuk sasaran treble memandangkan semua pemain terbaik Malaysia sekarang bersama TNB," katanya pada sidang media sempena pembukaan saingan TNB MHL 2026 di sini hari ini.
Sementara itu, katanya kehadiran pemain import Korea Selatan Jang Jong Hyun yang memasuki musim ketiga bersama TNB turut dilihat mampu memperkuat pasukan.
"Ini tahun ketiga Jang bersama TNB. Beliau masih ada kualiti dan sangat layak untuk kita gunakan. Kemahiran tinggi serta ketepatan menjadi kelebihan utama beliau," katanya.
TNB akan membuka kempen musim ini dengan menentang THT dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Sabtu ini.
Saingan MHL 2026 melibatkan keseluruhan 103 perlawanan, dengan 78 aksi bagi kategori lelaki dan 25 bagi wanita.
Musim 2025 menyaksikan THT mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul kejuaraan treble dengan menjuarai Piala Sumbangsih, Liga Hoki Malaysia dan Piala TNB.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial