KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Pemain beregu campuran negara Jimmy Wong bertekad memburu sekurang-kurangnya satu gelaran musim ini bersama-sama gandingan baharunya, Cheng Su Yin, bermula dengan penampilan sulung mereka pada Kejohanan Masters Malaysia 2026, hujung bulan ini.
Jimmy yang sebelum ini sering terkandas di pentas final bersama dengan bekas gandingannya, Lai Pei Jing, menyifatkan 2026 sebagai peluang terbaik untuknya menamatkan kemarau kejuaraan selepas kembali bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Saya harap boleh dapat sekurang-kurangnya satu gelaran sebab daripada tujuh final, satu pun tak dapat. Jadi, saya harap kali ini dapat capai sasaran itu,” katanya merujuk kepada rekod tujuh kali muncul naib juara ketika bergelar pemain profesional sebelum ini.
Meskipun memasang impian tinggi, beliau mengakui tahap kecergasan fizikalnya masih belum optimum berikutan kecederaan tangan yang dialami, namun yakin proses pemulihan yang sedang dijalani berada di landasan tepat.
Mengulas tentang gandingan baharunya, Jimmy berkata keputusan berpisah dengan Pei Jing dibuat demi memastikan kesinambungan kariernya dalam jangka panjang.
“Perjalanan saya dalam badminton kini lebih jelas kerana pasangan lama saya sudah senior, mungkin hanya dua atau tiga tahun lagi (beraksi). Dengan Su Yin, tempohnya lebih panjang, jadi lebih baik untuk perancangan masa depan,” katanya.
Sementara itu, Jimmy mengakui kini memikul tanggungjawab membimbing Su Yin dengan berkongsi pengalaman serta pengetahuan yang ditimba sebelum ini.
Beliau turut memuji kemudahan latihan di BAM yang disifatkan jauh lebih baik berbanding ketika bergerak secara profesional, sekali gus membantu mempercepat proses pemulihan dan persiapannya menghadapi perlawanan.
Kejohanan Masters Malaysia dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 24 Mei ini di Unifi Arena, Bukit Jalil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial