SUKAN > BERITA

Imigresen FC Bakal Tampil Dengan Identiti Baharu Musim Depan

16/05/2026 12:43 PM

ALOR SETAR, 16 Mei (Bernama) -- Imigresen FC (IFC) bakal tampil dengan identiti baharu musim depan melalui proses penjenamaan semula pasukan Liga Super itu bagi membina sokongan peminat khususnya di utara tanah air.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pengumuman lanjut mengenai perkara itu akan dilakukan dalam masa terdekat selepas perbincangan mengenainya selesai.

“Kita akan perkenalkan satu nama pasukan yang baharu sebagai penjenamaan semula kepada IFC, itu semua dalam proses yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kami ada beberapa idea baharu yang lebih segar untuk penjenamaan pasukan ini. Ia lebih kepada pembentukan identiti baharu yang lebih sesuai terutama kerana kita bermain di zon utara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam dan Amanat kepada pasukan Liga Super IFC di sini malam tadi.

Beliau berkata penjenamaan semula itu juga bertujuan untuk memposisikan pasukan itu dalam kalangan peminat khususnya di Kedah dan Perlis yang ketika ini tiada pasukan mewakili penyokong kedua-dua negeri itu dalam saingan Liga Super.

Saifuddin Nasution berkata melalui satu identiti baharu, pihaknya percaya dapat membina satu kumpulan penyokong yang lebih besar dan meriah terhadap pasukan itu pada musim hadapan.

Sementara itu, beliau berkata musim sulung IFC dalam Liga Super dianggap membanggakan apabila berjaya berada dalam kelompok enam teratas kedudukan liga setakat ini.

“Untuk musim sulung kami, saya lahirkan rasa bangga terhadap pemain dan pasukan kejurulatihan. Paling membanggakan juga kami dapat menguruskan sokongan logistik, biaya dan tajaan seperti mana yang kita rancang,” katanya.

Beliau berkata pihak pengurusan akan mempertimbangkan pemberian bonus kepada pemain sebagai penghargaan atas komitmen dan prestasi mereka sepanjang musim ini.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata pasukan itu juga akan menyelesaikan isu venue sebagai tuan rumah musim depan selepas beraksi di Stadium Negeri Pulau Pinang di Batu Kawan dan Stadium Tuanku Syed Putra di Kangar, Perlis musim ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan