SUKAN > BERITA

Air Mata 10 Tahun Berbaloi, Mohammad Yusof Raih Gelaran Olahragawan Paralimpik

19/05/2026 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Air mata dan titisan peluh sepanjang sedekad berkecimpung dalam arena para berbasikal akhirnya membuahkan hasil apabila impian Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin untuk bergelar Olahragawan Paralimpik menjadi kenyataan.

Mohammad Yusof dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Atlet kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu menyifatkan anugerah berkenaan sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanan dan kerja kerasnya selama 10 tahun berdepan pelbagai cabaran demi mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

“Anugerah ini adalah tanda kerja keras saya selama 10 tahun. Memang saya sangat idamkan gelaran Olahragawan ini sebagai hadiah untuk ibu bapa saya,” kata juara dunia berusia 28 tahun itu pada sidang media selepas menerima anugerah tersebut.

Mengulas lanjut, Mohammad Yusof berkata fokus utamanya kini terarah kepada persiapan menjelang Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland yang dijadualkan bermula Julai ini yang juga merupakan penampilan pertamanya di temasya berkenaan.

Selain Sukan Komanwel, beliau turut bakal menggalas cabaran negara di Sukan Para Asia dan Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia di Belanda masing-masing pada Oktober.

Sementara itu, mengulas mengenai potensi penampilannya di Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA28), Mohammad Yusof menyerahkan perkara itu kepada strategi barisan kejurulatihan.

Mohammad Yusof mencipta sensasi apabila meraih pingat emas pertama dunia buat negara menerusi acara pecut 200 meter kategori MC1 di Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 di Rio de Janeiro, Brazil.

Pada majlis ASN 2025 hari ini, beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan.

Gelaran Olahragawati Paralimpik Kebangsaan menjadi milik atlet para renang Lim Carmen.

Penyampaian anugerah itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemenang bagi kategori Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan masing-masing menerima piala, piala iringan, sijil penghargaan dan hadiah wang tunai RM20,000.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan