Dalam perjalanan kita mengorak langkah mendepani arus perubahan yang tidak terjangka sejak tercetusnya pandemik COVID-19, daripada kebiasaan mengurus kelas-kelas pengajian secara bersemuka kepada kelas dalam talian sepenuhnya, warga pendidik di sekolah mahupun di Institusi Pengajian Tinggi khususnya di negara ini berjaya memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan walaupun dengan pelbagai rintangan yang harus ditempuhi.
Sungguhpun begitu, perubahan sepenuhnya ke arah pengajaran dan pembelajaran dalam talian atau lebih dikenali sebagai e-Pembelajaran telah memaksa institusi-institusi pendidikan ini untuk melihat kembali polisi dan strategi pelaksanaan sistem pengajaran dan pembelajaran sedia ada.
Walaupun e-Pembelajaran sudah dilaksanakan hampir dua dekad yang lalu dan sebati dengan sistem pengajian tinggi di Malaysia, namun begitu, masih banyak lagi penambahbaikan boleh dilaksanakan terutamanya yang melibatkan penggunaan teknologi terkini.
Dapat dinikmati semua pelajar
Dalam kesibukan kita mencari jalan penyelesaian berkaitan teknologi pula, kita juga harus memastikan kesamarataan pembelajaran dalam talian ini dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat terutamanya kepada pelajar-pelajar yang tinggal pedalaman dan tidak mempunyai akses kepada keperluan asas seperti Internet.
Sejak tercetusnya pandemik ini beberapa bulan yang lalu, pelbagai perbincangan telah dibuat berkenaan cara atau kaedah terbaik untuk membantu para pelajar dan pendidik beralih ke pembelajaran dalam talian sepenuhnya.
Semakin banyak bengkel dan sesi perkongsian yang telah dijalankan, semakin jelas bahawa akan terdapat sebilangan pelajar bakal ketinggalan dalam situasi norma baharu ini.
Anjakan ini ternyata tidak sama dengan mod e-Pembelajaran pada waktu-waktu biasa kerana kelazimannya, pembelajaran dalam talian digunakan sebagai kaedah pengajaran tambahan atau mod bercampur (blended learning) bagi para akademik.
Perubahan drastik
Pengajaran jarak jauh sewaktu pandemik sebegini bukan sahaja memerlukan perubahan drastik dari segi cara penyampaian pengajaran mahupun strategi penilaian, tetapi juga anjakan drastik dalam kesediaan kita untuk menempuhi cabaran ketiadaan interaksi secara bersemuka.
Terdapat ramai lagi pelajar, terutamanya dari golongan B40, yang masih lagi berjuang untuk mendapat akses kepada Internet di kampung halaman mahupun cabaran dari segi kewangan demi untuk mendapatkan pakej jalur lebar yang sesuai bagi meneruskan pembelajaran masing-masing.
Walaupun para pendidik berusaha untuk mengimbangi situasi sebegini dengan amalan-amalan terbaik, namun sudah jelas sekarang bahawa tidak akan ada satu pun amalan e-Pembelajaran yang boleh dilabelkan sebagai yang terbaik.
Berbeza dengan mod pengajaran secara bersemuka, e-Pembelajaran lebih bersifat peribadi dan telus. Pembelajaran dalam talian mengundang lebih banyak keperluan semasa yang perlu dihadapi oleh para pendidik, dari isu kebolehcapaian ke isu kesamarataan bagi semua pelajar yang terlibat. Sudah pasti, ini merupakan satu cabaran yang mungkin tidak pernah terbayang oleh para pendidik sepanjang pengalaman mereka dalam bidang pengajaran dan pembelajaran.
Adalah penting bagi kita untuk menyedari bahawa amalan terbaik atau "best practices" yang harus difokuskan pada masa kini adalah kesaksamaan dan penyelesaian berasaskan komuniti, atau "community-driven solutions".
Kerjasama komuniti
Dalam hal ini, setiap pihak dalam komuniti pendidikan ini perlu memainkan peranan bersama bagi mendapat impak yang maksimum dalam anjakan perubahan ke arah e-Pembelajaran sepenuhnya.
Kerjasama yang berterusan bersama komuniti merupakan pemangkin untuk meminimumkan risiko dan memastikan tiada individu akan ketinggalan dalam mod pembelajaran dalam talian. Sebagai contoh, pelajar-pelajar yang tinggal di pedalaman dan menghadapi kesukaran untuk mendapat akses kepada Internet boleh dibenarkan kembali ke kampus seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada 27 Mei 2020 lepas atau menggunakan kemudahan di pusat Internet komuniti seperti Pusat Internet Desa.
Bagi pelajar-pelajar sekolah, komuniti setempat boleh memainkan peranan bersama dengan membentuk kumpulan-kumpulan pengajar secara sukarela yang boleh mengambil alih peranan guru secara sementara. Peranan para pengajar sukarela ini penting bagi memastikan anak-anak di kawasan pedalaman tidak ketinggalan. Bahan-bahan pengajaran pula boleh dihantar secara pos kepada pelajar-pelajar yang terkesan ini.
Agenda transformasi ini hanya akan dapat dilaksanakan sekiranya setiap warga dalam komuniti ini bekerjasama membantu dalam memacu perubahan semasa proses peralihan ini dilaksanakan.
Dalam keterujaan kita mengekplorasi pelbagai kecanggihan teknologi pembelajaran dalam talian, adalah penting agar faedah-faedah e-Pembelajaran ini tidak hanya dinikmati oleh segelintir golongan sahaja.
Sekiranya e-pembelajaran tidak dapat dielakkan, maka tiada seorang pun yang harus dipinggirkan.
--BERNAMA
Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)