TINTA MINDA

KERISAUAN MASYARAKAT TERHADAP INDEKS JENAYAH SEMASA COVID-19

16/04/2021 08:50 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Zalmizy Hussin

Kerisauan terhadap indeks jenayah merupakan suatu realiti sosial masyarakat Malaysia. Pelbagai pendekatan telah diperkenalkan dalam usaha mempertingkatkan persepsi rasa selamat daripada sudut kadar jenayah selain mengekalkan kualiti hidup masyarakat di bandar mahu pun di luar bandar. Perjuangan menentang jenayah perlu dilaksanakan secara berterusan kerana setiap rakyat mengimpikan persekitaran yang selamat malah perasaan selamat itu perlu wujud dalam diri mereka.

Kerisauan masyarakat terhadap peningkatan kes jenayah akibat pandemik COVID-19 berikutan ramai yang hilang pekerjaan dan diberhentikan kerja juga terus menjadi polemik dalam masyarakat. Golongan yang terkesan ini dikatakan segelintirnya terlibat dalam jenayah akibat hilang punca pendapatan. Isu ini sering kali menjadi perdebatan di platform media sosial yang turut meluahkan pelbagai reaksi termasuk risau, marah dan kecewa dengan apa yang berlaku. Selain itu, bilangan kes jenayah yang berlaku sebenarnya menguatkan lagi kerisauan masyarakat terhadap jenayah.

Kadar Jenayah

Namun begitu, kadar jenayah akibat pandemik COVID-19 adalah persoalan yang perlu dirungkai bersama. Orang ramai perlu yakin pada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertanggungjawab penuh dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam. Usahlah ditularkan sebarang berita palsu dan tidak benar. Tingkah laku tersebut mencetus kerisauan dan kegusaran masyarakat.

Berdasarkan statistik yang dilaporkan oleh pihak PDRM, kadar jenayah dari 1 Jan hingga 15 Nov 2020 menunjukkan sebanyak 56,117 kes iaitu penurunan sebanyak 16,719 kes (23 peratus) berbanding 72,836 kes dalam tempoh yang sama pada tahun 2019. Justeru, statistik tersebut membuktikan dakwaan bilangan kes jenayah di Malaysia bertambah akibat COVID-19 adalah tidak benar. Inilah realiti yang perlu diterima oleh orang ramai. Diharapkan statistik tersebut menyedarkan rakyat agar tidak menimbulkan persepsi yang buruk terhadap badan penguat kuasa seperti PDRM. Harapan saya agar kerisauan dan ketakutan terhadap jenayah dapat dikuragkan.

Sebenarnya terdapat dua gambaran kerisauan ini iaitu realiti sosial berkaitan jenayah dan persepsi netizen terhadap jenayah. Kadar jenayah yang dilaporkan telah menurun tetapi sekiranya kita bertanya kepada masyarakat, mereka percaya kadar jenayah semakin meningkat dan menakutkan. Inilah persepsi netizen yang sukar diubah.

Indeks jenayah sebenarnya merupakan satu ukuran. Pihak berkuasa menggunakan indeks jenayah ini untuk mengukur jumlah jenayah yang berlaku dalam negara. Bagi pihak berkuasa, jika indeks jenayah menurun, maka sudah pasti ketakutan terhadap jenayah juga sepatutnya menurun tetapi netizen mempunyai persepsi sebaliknya.

Ketakutan terhadap jenayah juga terbahagi kepada pandangan netizen dan pihak berkuasa. Kajian menunjukkan bahawa ketakutan terhadap jenayah dan jenayah itu sendiri tidak mempunyai kaitan. Pengurangan kadar jenayah tidak akan mengurangkan kebimbangan terhadap jenayah.

Bandar Selamat, Bandar Pintar

Konsep “Bandar Selamat, Bandar Pintar” merupakan pendekatan baharu negara ini dalam memperkukuhkan peraturan dan penguatkuasaan undang-undang bagi tujuan pencegahan jenayah di seluruh Malaysia. Konsep bandar selamat bertujuan membentuk persekitaran bandar dan taman-taman perumahan yang selamat dan aman sejahtera, iaitu bebas daripada cengkaman jenayah, melalui prinsip reka bentuk persekitaran yang selamat, memperkasakan kawasan sasaran dan pembangunan komuniti melalui kegiatan sosial dan kemasyarakatan.

Konsep bandar pintar pula mengintegrasikan teknologi maklumat dan komunikasi serta pelbagai peranti fizikal menghubungkan rangkaian untuk merancang kecekapan operasi dan perkhidmatan bandar dan dihubungkan kepada rakyat. Diharapkan konsep Bandar Selamat, Bandar Pintar ini mampu mengurangkan kerisauan netizen terhadap jenayah.

-- BERNAMA

Dr Zalmizy Hussin merupakan Pakar Kriminologi di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)