TINTA MINDA

KERANGKA ALAM SEKITAR MODEL KELESTARIAN SUMBER DAN KETERJAMINAN PERUBAHAN BUMI

08/05/2023 12:04 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Ir Dr Mohd Fadhil Md Din

Secara umum, kesedaran dan cakna perubahan iklim telah menjadi perbahasan utama menerusi tindakan global dan agenda setempat. Bertepatan dengan enam tonggak utama Malaysia Madani, terutamanya kemampanan dan kesejahteraan, cabaran kerangka alam sekitar di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah mengenal pasti 26 inisiatif langsung (Pelan Kelestarian Alam Sekitar 2020-2030) bagi menyediakan kemampanan dan ketahanan negara mendepani cabaran pasca bencana.

Secara saintifiknya, Malaysia antara negara yang telah memberikan komitmen mengenai pelepasan gas rumah hijau, sokongan berterusan Sifar Karbon Bersih (Net-Zero Carbon), pengenalan pembiayaan hijau melalui bank perdagangan serta beberapa inisiatif tidak langsung dalam menjana model perniagaan bersifat inklusif terhadap cabaran semasa dan akan datang. Malaysia juga merupakan antara pelopor dalam memperkemaskan data saintifik menerusi EPI (Environmental Performance Index), data asas sumber penghasilan karbon daripada sektor-sektor kritikal, dan beberapa pelaporan umum mengenai isu alam sekitar di peringkat nasional.

Kesan perubahan ekosistem

Kajian saintis, terutamanya yang melibatkan adaptasi dan daya tahan lokaliti terhadap perubahan iklim memberikan data paling signifikan mengenai tindak balas berantai yang boleh menyebabkan impak langsung. Pada masa depan, keperluan pelaporan daripada saintis alam sekitar dan kemampuan penjanaan laporan interaktif (berteraskan fakta berkala) amat diperlukan bagi tujuan perancangan mitigasi. Portal rasmi data.gov.my telah menyediakan sebanyak 485 data terkait dengan alam sekitar, termasuk data tahunan dari pelbagai sumber kementerian dan agensi (termasuk pihak berkuasa tempatan serta kerajaan negeri).

Satu daripadanya ialah mengenai kemerosotan biokepelbagaian (flora dan fauna) yang mempengaruhi perubahan ekosistem di lokaliti tertentu. Perubahan ini akan menyebabkan ciri biologi dan fizikal biosfera/hidrosfera sesuatu kawasan atau zon berubah dan menyebabkan kacau ganggu berpanjangan. Isu ini termasuk dalam rantaian jaminan ekologi yang mempengaruhi suhu bumi, keseimbangan biologi dan perubahan rantaian makanan. Kajian sejak beberapa tahun ini mendapati peningkatan suhu bumi menyebabkan persekitaran hutan bakau dan ekosistemnya mengalami kepupusan walaupun beberapa inisiatif penanaman semula telah dilaksanakan.

Penerobosan air laut (kemasinan) sehingga ke bahagian pertengahan muara sungai telah menyebabkan ketidakseimbangan koridor pantai dan spesis tertentu (seperti siput, kerang dan hidupan marin yang lain) mengalami kemerosotan populasi. Terdapat beberapa lokasi utama sumber makanan marin (hasil laut dan produk hiliran) kepada penternak komersil, nelayan dan pengendali industri akuakultur telah mengalami defisit kelangsungan sumber. Jika tidak ditangani segera, negara akan mengalami penyusutan kebergantungan sumber tempatan.

Kesan aktiviti manusia

Selain itu, kacau ganggu yang berterusan daripada aktiviti manusia (pelepasan sumber buangan) juga menjadi penyumbang utama dan mempercepatkan dominasi perubahan alam sekitar. Sumber buangan daripada gas industri (termasuk logistik dan mobiliti) dan efluen adalah antara penyumbang berterusan kepada cabaran semasa, walaupun penguatkuasaan dan pemantauan dilaksanakan secara bersasar. Dalam konteks semasa, piawaian yang dinyatakan dalam akta atau peraturan merupakan kemestian dalam perlaksanaan.

Bagaimanapun, cabaran pada masakini adalah perlaksanaan lebih serius terutamanya dalam memperkenalkan model baru pematuhan alam sekitar seperti pengenalan sistem “pay per polluter” kepada industri tertentu, jumlah saman atau bentuk hukuman kepada pencemar alam sekitar dan pengurusan berbentuk holistik. Menerusi Dasar Alam Sekitar Negara, pengurusan secara mampan elemen persekitaran adalah tunjang utama perlindungan sumber dan pencegahan bentuk pencemaran di mana-mana lokaliti. Ini dibuktikan menerusi salah satu kenyataan media mengenai komitmen kerajaan terhadap mana-mana penerokaan tanah tinggi (terutamanya di Cameron Highlands) yang mencadangkan penyelarasan operasi serta pasukan pemantau dalam situasi kritikal perlindungan sumber dan mencegah kes-kes seperti gelongsoran dan banjir lumpur.

Adalah penting model atau kerangka jaminan mengenai alam sekitar serta kelestarian ini dijadikan agenda rakyat bagi menyantuni pelbagai inisiatif pengurangan risiko kacau ganggu kepada persekitaran. Bagi mengekalkan komitmen ini, kerajaan madani telah memperkasakan Dasar Alam Sekitar Negara (DASN) melalui aktiviti berteraskan proses memutuskan keputusan, kawalan kendiri, berpaksikan pertumbuhan ekonomi, dan kesejahteraan rakyat serta hubung kait ekosistem. Justeru, penstrukturan lebih bersasar dan bertanggungjawab seperti ini adalah penting dalam menyediakan Malaysia yang jauh lebih mampan pada masa depan.

--BERNAMA

Prof Ir Ts Dr Mohd Fadhil Md Din ialah Pengarah Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)