Oleh: Datuk Mohd Ajib Ismail
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah mengisytiharkan bahawa tanggal 1 Zulhijah 1444H ditentukan pada hari Selasa, 20 Jun 2023 sekaligus bermaksud bahawa Hari Raya Aidiladha bakal disambut oleh umat Islam di Malaysia pada 10 Zulhijah 1144H bersamaan 29 Jun 2023. Penetapan tarikh awal Zulhijah juga dibuat setelah melalui proses cerapan hilal yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan di seluruh negara. Dalam kalendar Islam, bulan Zulhijah merupakan salah satu daripada empat bulan haram yang dimuliakan oleh Allah SWT, di samping tiga bulan Islam yang lain iaitu bulan Zulkaedah, Muharam dan Rejab.
Ibadah Haji Dan Korban
Antara peristiwa terbesar yang berlaku dalam bulan Zulhijah adalah ibadah haji dan korban yang disyariatkan ke atas umat Islam terutamanya bagi golongan yang berkemampuan sebagai lambang ketaatan kepada perintah Allah SWT. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bermaksud: "Seorang lelaki berkata: 'Wahai Rasulullah, apakah amalan yang afdal,' Baginda menjawab: "Beriman dengan Allah dan Rasul-Nya." Kemudian dia berkata, 'selepas itu, apa?' Baginda menjawab: "Jihad di jalan Allah." Dia berkata lagi, 'seterusnya apa?' Baginda menjawab: "Haji yang mabrur." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Pada tahun ini, dianggarkan seramai 31,600 orang jemaah haji Malaysia berada di tanah suci untuk menunaikan salah satu kewajiban yang merupakan rukun Islam yang kelima.
Allah SWT juga berfirman dalam al-Quran surah al-Hajj ayat 34 yang bermaksud: "Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepada-Nya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat." Justeru pelbagai pihak berlumba-lumba mengejar fadilat yang dijanjikan dengan menganjurkan program ibadah korban sama ada di dalam mahupun luar negara melalui pelbagai kadar sumbangan yang ditetapkan sesuai dengan kemampuan masing-masing. Ibadah korban bertujuan menyuburkan sifat empati dan ihsan terhadap golongan yang memerlukan. Oleh itu umat Islam dituntut agar mengorbankan hasil ternakan yang terbaik bagi tujuan tersebut. Di Wilayah-wilayah Persekutuan, semua masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan ibadah korban bermula selepas selesai menunaikan solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijah dan hari-hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah 1443H sebelum berakhir waktu Asar.
Kedatangan bulan Zulhijah amat besar maknanya di dalam kalendar tahunan umat Islam.
Ibadah Pada Bulan Zulhijah
Allah SWT menjadikan 10 hari terawal Zulhijah sebagai tempoh yang dapat dikongsi bersama bagi orang yang mengerjakan haji dan mereka yang tidak mengerjakannya. Sesiapa yang tidak mampu mengerjakan haji dalam tahun tersebut, masih boleh melaksanakan pelbagai bentuk ibadah dan amal soleh di tempat masing-masing sepanjang 10 hari berkenaan. Pada 10 hari pertama dalam bulan Zulhijah adalah hari yang paling istimewa sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak ada hari yang amal solehnya lebih dikasihi Allah selain daripada hari yang 10 ini. Sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: "Walaupun berjihad di jalan Allah kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri dan hartanya serta tidak kembali lagi selepas itu (syahid)." (Riwayat Ahmad dan Al-Tirmizi). Di dalam sebuah hadis yang lain daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Tiada hari-hari yang paling disukai oleh Allah untuk seseorang melakukan ibadah kepada-Nya selain 10 hari dalam Zulhijah. Puasa setiap harinya menyamai puasa setahun dan qiamullail setiap malamnya menyamai qiamullail pada malam Al-Qadr." (Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Antara amalan yang dianjurkan pada 10 hari terawal bulan Zulhijah adalah seperti memperbanyakkan bertaubat dan beristighfar, membaca al-Quran, berpuasa, qiamullail, bersedekah, berzikir dan berselawat, memelihara silaturahim, berbakti kepada kedua-dua ibu bapa dan solat berjemaah di awal waktu. Amalan berdoa untuk mendapatkan kebaikan di dunia dan akhirat serta berzikir dengan bertasbih, bertahmid dan bertakbir adalah selari dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 200-201 yang bermaksud: "Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia." (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat."
Berkenaan ibadah puasa, antara yang dituntut untuk dilaksanakan adalah Puasa Hari Arafah iaitu puasa pada hari kesembilan Zulhijah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Mereka boleh memanfaatkan kemuliaan Hari Arafah dengan berpuasa sunat, berzikir dan melakukan amalan-amalan sunat yang lain. Berpuasa sunat Arafah diganjari pahala yang sangat besar, sebagaimana maksud sebuah hadis daripada Abu Qatadah al-Anshari RA, Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di Hari Arafah. Maka Baginda bersabda: "Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang." (Riwayat Muslim).
Rebutlah peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak masjid dan surau khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan seperti majlis iftar, qiamullail, infaq dan sedekah, zikir dan selawat serta pelbagai lagi sebagai pengisian yang bermanfaat sempena bulan Zulhijah. Masjid Wilayah Persekutaun Kuala Lumpur misalnya mempelawa jemaah sekitar menyertai Iftar Jama'ie di Ruang Legar Anjung A dengan menyediakan 200 pek juadah berbuka puasa secara percuma sepanjang 10 hari sebagai galakan berpuasa sunat. Selain itu, pelbagai aktiviti lain dianjurkan seperti Kuliah Maghrib dan Subuh, Bicara Mufti, Bacaan Yasin serta galakan bersedekah dan qiyamullail bagi merebut peluang ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT terutamanya pada 10 hari pertama bulan Zulhijah. Selain menggalakkan ahli kariah masjid dan surau masing-masing merebut peluang bagi meraih ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT, aktiviti yang dilaksanakan juga dapat menyokong usaha berterusan dalam mengimarahkan masjid dan surau di seluruh negara.
-- BERNAMA
Datuk Mohd Ajib Ismail ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)