TINTA MINDA

TEKNOLOGI BAHARU TINGKAT PRESTASI SISTEM PENGANGKUTAN NEGARA

25/10/2023 10:41 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof. Dr Rusli Abdullah

Kemunculan teknologi terbaharu amat membantu semua pemegang taruh terutamanya dalam kalangan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam yang dikenali sebagai sistem pengangkutan negara.

Sistem pengangkutan negara merangkumi semua aspek atau jenis sistem pengangkutan sama ada untuk penggunaan persendirian atau awam.

Dalam konteks sistem pengangkutan awam, peranannya kini lebih terserlah dengan penggunaan teknologi baharu yang menyokong peningkatan prestasi di pelbagai peringkat bermula dari urusan pendaftaran pemandu dan kenderaan, pembaharuan lesen pemanduan, pembelian tiket serta hal-ehwal pemantauan kenderaan pengguna atau kenderaan tertentu baik yang berada di daratan, lautan mahupun udara.

Bagaimanapun, fokus utama perbincangan ini adalah penekanan bagaimana teknologi baharu menyokong sistem pengangkutan negara yang melibatkan pengangkutan persendirian dan awam yang berada di daratan seperti kereta, motosikal, bas dan lori.

Antara teknologi baharu yang memberi manfaat kepada sistem pengangkutan darat termasuklah penggunaan sistem integrasi atau automasi yang dikaitkan dengan teknologi revolusi perindustrian - IR 4.0 yang dilengkapi dengan sistem kecerdasan buatan (AI), internet pelbagai benda (IoT), sistem data raya (big data), dan komputeran awan (cloud computing), serta lain-lain lagi.

Meningkat prestasi sistem pengangkutan

Peranan teknologi terbaharu dalam menyokong sistem pengangkutan negara dapat dilihat terutamanya dalam konteks pemegang taruh yang berpotensi menggunakan teknologi ini untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan selain memastikan operasi pengangkutan berjalan dengan lancar, menjimatkan kos dan masa.

Sebagai contoh, penggunaan aplikasi yang dilengkapi dengan sistem kecerdasan buatan untuk merancang dan memantau perjalanan, mengetahui jangkaan masa ketibaan (ETA) ke sesuatu destinasi selain pengguna boleh mendapat maklumat penyedia perkhidmatan tertentu yang berada berdekatan dengan mereka.

Seterusnya, penggunaan sistem teknologi pintar telah memungkinkan urusan pembaharuan lesen pemanduan dan kenderaan menjadi lebih mudah. Ini kerana sistem ini mampu diintegrasikan dengan sistem-sistem lain seperti sistem insurans dan sistem perbankan di mana segala urusan berkaitan boleh dilaksanakan pada satu pelantar sebagai ‘one stop center’ dan semuanya dilaksanakan secara digital.

Teknologi juga telah penguatkuasa untuk memantau peristiwa yang berlaku di jalan raya atau lokasi tertentu terutamanya bagi mengambil tindakan yang bersesuaian berasaskan fakta yang diperolehi melalui sistem internet benda yang dipasang di lokasi yang berkenaan.

Pada masa yang sama, pihak penguatkuasa seperti pihak polis juga boleh mengambil tindakan tertentu seperti mengeluarkan kertas saman dan seterusnya membuat penganalisaan data yang diperolehi dari lokasi kejadian yang disambungkan dengan sistem pangkalan data yang lebih dikenali sebagai sistem data raya bagi mengetahui jumlah bilangan dengan anggaran perolehan kos saman secara harian, mingguan, bulanan, dan tahunan.

Selanjutnya, bagi pihak penyedia atau pembekal perkhidmatan dengan mudah boleh membuat cadangan baharu dan penambahbaikan perkhidmatan atau produk mereka untuk kegunaan kepada pengguna awam dan pihak penguatkuasa atau pihak yang bertanggungjawab seperti kerajaan melalui sistem dalam talian atau digital secara bersepadu serta dilengkapi dengan peralatan sistem cerdas atau pintar.

Isu dan cabaran

Bagi memastikan semua sistem aplikasi yang menyokong sistem pengangkutan negara ini beroperasi dengan baik dan lancar, beberapa isu dan cabaran semasa dan yang mendatang haruslah diambil tindakan yang sewajarnya.

Ini termasuklah memastikan ekosistem atau prasarana dilengkapi dan dibangunkan dengan kemudahan rangkaian tanpa wayar (WIFI - 5G) yang mampu membantu semua pihak terlibat untuk beroperasi dengan lebih efektif.

Di samping itu, faktor keseimbangan capaian kepada semua perkhidmatan melalui sistem pengangkutan negara yang dikenali sebagai ‘Digital Inclusion’ iaitu capaian kepada sistem berkenaan adalah tanpa mengira di mana mereka berada iaitu sama ada di bandar atau di luar bandar.

Dengan itu, semua perkhidmatan yang disediakan kepada pihak berkepentingan dapat memberi pengalaman pengguna (UX) yang baik dan seterusnya dapat mendorong mereka mempromosikan sistem dalam kalangan pengguna lain agar kelestariannya boleh dimanfaatkan oleh semua pihak yang terlibat.

Kesimpulannya, untuk memastikan teknologi baharu ini berfungsi mengikut kehendak pemegang taruh atau berkepentingan demi kemanfaatan mereka terhadap sistem pengangkutan negara, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing sama ada secara langsung atau sebaliknya.

Ini termasuklah mempromosikan teknologi yang boleh menyokong penambahbaikan dalam sistem pengangkutan negara dan memberi manfaat kepada pengguna.

Antara teknologi yang sangat membantu pihak berkepentingan termasuklah mempromosikan penggunaan sistem yang diintegrasikan dengan sistem automasi atau pintar serta boleh dicapai oleh sesiapa sahaja, di mana-mana dan pada setiap masa dengan menggunakan peralatan pintar yang menekankan kepada pendekatan yang dikenali sebagai ‘bring your own device (BYOD)’ bagi mendapatkan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak yang berkenaan.

Pada akhirnya, semua pihak akan mendapat pemanfaatan daripada peranan yang dimainkan oleh sistem ini yang berasaskan kepada teknologi terbaharu dan seterusnya membentuk sistem pengangkutan yang bercirikan masa depan.

-- BERNAMA

Prof. Dr Rusli Abdullah ialah Pensyarah di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)