TINTA MINDA

ANWAR JURUJUAL DAN JURUCAKAP TERBAIK NEGARA

03/05/2024 12:10 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Dr. Zaid Ahmad

Kehadiran buat kali keempat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Arab Saudi pada Ahad dan Isnin lepas adalah petanda hubungan rapat beliau dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman, yang memberi jemputan peribadi untuk beliau ke sana.

Pada masa yang sama, kehadiran ini juga menunjukkan keutamaan ke atas Arab Saudi khasnya dan Timur Tengah amnya dalam dasar luar Malaysia sekali gus pengiktirafan ke atas posisi strategik Anwar sebagai antara pembawa suara utama negara-negara kurang maju.

Jadual utama Anwar di Arab Saudi ialah menghadiri mesyuarat khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) bertemakan “Kerjasama Global, Pertumbuhan, dan Tenaga untuk Pembangunan” di Riyadh di mana beliau telah dijemput memberikan ucapan di sesi plenari pembukaannya.

Suara lantang Malaysia di persada antarabangsa

Sekali lagi Anwar tidak menghampakan malah membanggakan rakyat Malaysia melalui suara lantang beliau di sesi plenari pembukaan Mesyuarat Khas WEF bertemakan “Visi Baharu Pembangunan Global” yang terus mendapat liputan luas dari media antarabangsa.

Jika sebelum ini Anwar menempa nama dan menjadi sebutan kerana ucapan beliau yang menempelak negara-negara Barat di atas hipokrasi mereka menangani isu Palestin, ucapannya di Mesyuarat Khas WEF pula mendapat perhatian kerana ia menyelar kuasa-kuasa besar.

Kuasa besar tidak boleh mengarah sesuka hati

Kuasa-kuasa besar ekonomi, tegas Anwar, tidak boleh mengarah (dictate) negara-negara lain, termasuk Malaysia, sesuka hati. Mereka harus mematuhi peraturan negara serta tidak mengenakan apa-apa syarat atau tuntutan yang memperkecilkan arah dan dasar ekonomi negara.

Di hadapan pemimpin dunia dan perniagaan, Anwar bertegas bahawa sementara Malaysia amat mengalu-alukan pelaburan, namun ia tidak akan menggadaikan prinsip dan tegas dalam pendirian terkait isu geopolitik dunia serta tidak akan tunduk pada provokasi, syarat dan tekanan.

Malaysia amal dasar luar tegas

Turut dinyatakan ialah Malaysia mengamalkan dasar luar yang 'sangat tegas' yang telah membolehkannya mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan kuasa-kuasa besar Barat seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tetapi juga dengan negara-negara seperti China.

Anwar menjelaskan prospek ekonomi Malaysia tidak akan dipengaruhi oleh peperangan perdagangan antara AS dan China kerana Malaysia menggunakan pendekatan bijaksana serta mengimbangi pengaruh mereka dengan tidak membuat provokasi kepada mana-mana pihak.

Tema tidak tunduk kepada arahan kuasa-kuasa besar ekonomi adalah tema penting dalam pergolakan dunia sekarang. Dalam ucapannya di hadapan pelajar dan cendekiawan di Tsinghua University, Beijing, pada 31 Mac 2023 lagi Anwar sudah mula membawa tema ini.

Anwar menegaskan dalam ucapan itu: “Tempoh penjajahan dan imperialisme baru sudah berlalu. Tiada negara yang boleh mengarah kita. Sebagai sebuah negara yang bebas dan merdeka, kita akan memutuskan apa yang terbaik untuk kita berdasarkan nilai dan prinsip kita sendiri.”

Tema ini juga Anwar pernah tegaskan dalam sidang media bersama beliau dengan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, yang merupakan seorang sekutu tegar AS di Melbourne pada 4 Mac lalu sewaktu siding kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean).

Ujar Anwar: “Kami sebuah negara merdeka, kami tidak mahu diarahkan oleh mana-mana pihak. Jika ada mana-mana negara mempunyai masalah dengan China, mereka tidak sepatutnya memaksa negara lain yang tidak mempunyai masalah dengan China untuk mengikut mereka.”

Kritik gelombang fobia China yang meningkat di Barat

Sebelumnya, dalam temubual dengan akhbar Financial Times pada 25 Februari, Anwar mengkritik gelombang "fobia China" yang semakin meningkat di barat. Masa sama, beliau menafikan dakwaan Naib Presiden AS, Kamala Harris, bahawa Malaysia condong kepada Beijing.

Forum antarabangsa seperti Mesyuarat Khas WEF ini penting kerana ia membolehkan Anwar mempertegaskan pendirian negara dalam isu geopolitik serantau di hadapan pemimpin-pemimpin dunia apatah lagi bila suara Anwar semakin dianggap mewakili suara negara-negara lain.

Anwar tegaskan keutamaan kepengerusian ASEAN tahun depan

Selain menghadiri Mesyuarat Khas WEF, Anwar juga mengetuai delegasi Malaysia dalam “Dialog Strategi Bersama Asean - Majlis Kerjasama Teluk (GCC)” dalam mana beliau mengetengahkan beberapa keutamaan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia bermula tahun depan.

Dalam kesempatan ini, Anwar sekali lagi mempertegaskan kepentingan kerjasama GCC untuk mempermudah dan melancarkan usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza di samping mencari penyelesaian tuntas terhadap konflik Palestin-Israel yang semakin memburuk.

Ruang yang ada juga diguna oleh Anwar untuk bertukar-tukar fikiran dengan pemimpin beberapa buah negara lain seperti Presiden Rwanda, Perdana Menteri Jordan, Perdana Menteri Pakistan, Perdana Menteri Qatar, Menteri Luar Turkiye dan Menteri Kewangan Indonesia.

Meneroka peluang-peluang ekonomi

Tidak ketinggalan dalam sesi lawatan begini, Anwar bersama delegasi Malaysia yang lain juga mengadakan beberapa pertemuan penting bersama pimpinan dunia dan ketua-ketua korporat global dalam misi meneroka pelbagai peluang ekonomi dan menarik pelaburan baharu.

Melalui program Dialog Strategi Kebangsaan, di mana Anwar telah berinteraksi dengan lebih 50 pemimpin industri dan perniagaan pelbagai sektor dari seluruh pelusuk dunia dalam mesyuarat meja bulat membolehkan Malaysia memperkenalkan keutamaan dan inisiatif strategiknya.

Antara pemimpin industri dan perniagaan yang menyertai dialog ini termasuklah syarikat-syarikat gergasi seperti Samsung, Chevron, BrainBox AI, Cisco Systems, OmniBot.ai, TotalEnergies, Lulu Group International, Deutsche Bank dan Saudi Industrial Development Fund.

Atas penjelasan yang meyakinkan oleh Anwar mengenai perkembangan Malaysia serta kewujudan peluang-peluang perdagangan dan pelaburan yang luas di sini, ramai pemimpin industri dan perniagaan yang hadir menyatakan minat untuk melabur di Malaysia dalam pelbagai bidang.

Selain itu, Anwar juga bermesyuarat dengan Presiden dan Pengerusi Bank Pembangunan Islam (IsDB), Dr Muhammad Al Jasser, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tenaga Perancis, TotalEnergies, Patrick Pouyanne, serta Pengerusi ACWA Power, Mohammad A Abunayyan.

Semua ini adalah bukti bahawa Anwar adalah Top Salesman (Jurujual Terbaik) Malaysia, malah dengan semakin lantangnya suara beliau di dalam forum-forum antarabangsa beliau kini semakin diakui sebagai antara Top Spokesman (Jurucakap Terbaik) Negara-Negara Dunia Ketiga.

-- BERNAMA

Prof Dr Zaid Ahmad ialah Felo Penyelidik Utama di Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)