Statistik Pendidikan Tinggi 2022 dan 2023 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi menunjukkan peningkatan bilangan kemasukan pelajar peringkat pascasiswazah iaitu sarjana dan diploma lepasan ijazah, namun calon doktor falsafah (PhD) menunjukkan sedikit penurunan.
Kemasukan pelajar di universiti awam dan swasta bagi peringkat sarjana meningkat daripada 32,248 kepada 35,773 orang manakala bagi peringkat diploma lepasan ijazah kemasukan pelajar meningkat daripada 4,679 kepada 7,352 pada tahun 2023. Sementara itu, kemasukan pelajar pada peringkat PhD berkurangan iaitu daripada 14,017 kepada 11,544 pelajar dalam tempoh yang sama.
Sebagai salah sebuah universiti penyelidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) mempunyai sebanyak 12,263 calon siswazah, terdiri daripada 7,062 pelajar tempatan dan 5,201 pelajar antarabangsa. Perkembangan tersebut menjadikan UPM destinasi popular di peringkat pascasiswazah, seterusnya membantu menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi cemerlang di peringkat antarabangsa.
Pembelajaran di peringkat sarjana dan PhD memerlukan pengorbanan dan usaha yang berterusan untuk berjaya. Usaha calon-calon untuk menamatkan pengajian mengikut tempoh masa yang ditetapkan bukanlah halangan tetapi cabaran buat mereka. Untuk menamatkan pengajian, tempoh masa dua hingga tiga tahun diperlukan oleh calon-calon sarjana manakala tiga hingga empat tahun untuk PhD.
Justeru, calon-calon boleh mengoptimumkan strategi pembelajaran secara efektif untuk mencapai “Graduate on Time” atau GOT melalui persiapan pembelajaran serta penyelidikan yang sistematik.
Mengapa GOT?
Beberapa kelebihan akan diperoleh sekiranya calon pascasiswazah menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan. Misalnya, pelajar dapat memaksimumkan penggunaan masa untuk mengurangkan kos pengajian dan meringankan beban kewangan. Mengapa perlu bayar lebih untuk yuran pengajian sekiranya pelajar boleh menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan.
Tambahan masa pengajian akan memberi kesan kepada kesejahteraan mental pelajar seperti menjejaskan konsentrasi, motivasi dan prestasi akademik akibat keletihan mental yang berpanjangan. Perkembangan profesional dan kerjaya juga dapat dimulakan lebih awal sebaik sahaja menamatkan pengajian berbanding dengan pelajar yang mengambil masa lebih lama untuk menamatkan pengajian. Peluang kenaikan pangkat dan pengalaman profesional juga terbuka luas.
Kecerdasan Buatan dan GOT
Landskap teknologi pada masa kini yang berkembang maju telah memasuki dunia akademik dengan pengunaan kecerdasan buatan (AI) dalam membantu proses pembelajaran dan penyelidikan di peringat pascasiswazah.
Universiti di negara ini boleh mewujudkan satu sistem pendidikan yang dapat memperkasakan perkembangan pembelajaran dan penyelidikan pelajar pascasiswazah supaya mereka bersedia menghadapi cabaran AI ini dan seterusnya mencapai standard kualiti untuk menamatkan pengajian.
Pembelajaran dan penyelidikan adalah penting untuk diselaras serta diseimbangkan dengan kemudahan teknologi AI supaya tetap kekal relevan dan pada masa yang sama memelihara nilai, etika dan integriti dalam akademik dan penyelidik.
Strategi untuk GOT
Pada masa kini, AI dilihat signifikan dalam membantu pelajar pascasiswazah menguruskan tanggungjawab akademik dan penyelidikan seterusnya membantu mereka berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan. Beberapa pendekatan yang boleh diguna pakai untuk kekal relevan dalam pembelajaran dan penyelidikan.
Pengurusan masa - Penggunaan teknologi AI dapat membantu calon menguruskan masa dengan baik dan fleksibel. Contohnya, penjadualan berskala dalam penyelidikan dan pembelajaran dengan bantuan AI. Mereka boleh mengurus dan mengorganisasi pengurusan masa dengan baik untuk pencarian isu atau jurang kajian, permasalahan kajian, menentukan objektif kajian, tinjauan literatur, memilih metod kajian, menganalisis data, membuat rumusan serta penulisan laporan kajian.
Mereka perlu merancang serta mematuhi penjadualan yang dibuat secara konsisten setiap hari seperti pada waktu bekerja. Misalnya, jika mereka sebagai calon sepenuh masa, tumpukan setiap hari bermula daripada jam 8 pagi sehingga jam 5 petang pada waktu hari bekerja dan konsisten sepanjang tempoh pengajian. Manakala pelajar secara separuh masa perlulah mengatur penggunaan masa dengan baik pada sebelah malam mahupun pada hujung minggu untuk memastikan kemajuan pembelajaran dan penyelidikan secara konsisten dapat diperoleh.
Di samping kesibukan memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai calon pascasiswazah, mereka boleh menyusun waktu untuk bersama keluarga supaya aktiviti pembelajaran dan kekeluargaan diimbangi dan dirancang dengan baik.
Pengurusan pembelajaran kendiri boleh menjadi lebih efisien dengan bantuan AI termasuk menguruskan masa belajar, memilih dan menentukan cara belajar serta mencadangkan apa yang boleh dilakukan untuk menjadikan cara belajar lebih efektif dan berkesan. Beberapa contoh AI apps seperti Clickup, Motion dan Sunsama boleh digunakan untuk membantu menguruskan masa di samping meningkatkan produktiviti pembelajaran akademik dan penyelidikan.
Pengurusan penyelidikan - Kecerdasan buatan juga dapat membantu calon pascasiswazah menguruskan penyelidikan dengan baik termasuk menyempurnakan tinjauan literatur selain membuat semakan unsur-unsur plagiat dengan menggunakan software turnitin. Di samping itu, calon-calon boleh mendapatkan bantuan AI untuk semakan tatabahasa serta proses terjemahan.
Menganalisis data - Calon pascasiswazah perlu menguasai dan memahami bagaimana kaedah dan analisis data yang sesuai dan menepati tujuan kajian yang hendak dijalankan. Pembelajaran dan perbincangan untuk memperoleh kemahiran khususnya dalam kursus-kursus seperti kaedah penyelidikan dan analisis statistik boleh dikuti secara dalam talian atau secara hibrid.
Kini, dengan AI proses transkripsi data boleh diselesaikan dengan cepat dan pantas serta dapat menjimatkan masa. Menariknya, AI transkripsi ini telah menjangkau melebihi 90 bahasa. Beberapa contoh AI transkripsi apps seperti Cockatoo Transkrisi, otter.ai; rev Max dan Sonix.
Membina jaringan dan kolaborasi - Calon boleh membina jaringan dan kolaborasi menerusi penglibatan dalam pelbagai wacana akademia yang berkaitan dengan bidang penyelidikan masing-masing. Platform untuk berkolaborasi dan mengukuhkan jaringan akademia semakin berkembang pesat seiring dengan teknologi semasa dengan adanya persidangan secara hibrid dan online misalnya menerusi webinar. Platform ini dapat menjimatkan kos dan masa untuk menghadiri persidangan.
Dengan penyertaan dalam seminar dan persidangan di peringkat antarabangsa, calon berpeluang bertemu dengan pakar bidang dari pelbagai negara, bertukar idea dan pandangan serta mendapat maklumat terkini yang berkaitan dengan bidang kajian yang tentunya akan membantu menyiapkan penyelidikan dengan jayanya.
Kesihatan mental dan kesejahteraan diri - Calon pascasiswazah juga perlu menjaga kesihatan dan kesejahteraan diri. Mereka perlu lebih berdaya tahan dari segi kognitif, afektif, mempunyai efikasi kendiri yang tinggi serta boleh berdikari untuk menyiapkan penyelidikan dalam tempoh yang ditetapkan tanpa terlalu bergantung dengan penyelia.
Disamping itu, mereka perlu mempunyai motivasi diri yang tinggi untuk menggerakkan diri berjuang menghabiskan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan. Sokongan penyelia, rakan sebaya, keluarga dan pasangan adalah penting untuk memastikan motivasi diri sentiasa berada pada tahap yang memberansangkan.
Jika calon menghadapi masalah, cuba dapatkan bantuan dan sokongan kaunselor. Kini, teknologi AI turut menyediakan platform perkhidmatan e-kaunseling untuk membantu calon-calon mengendalikan masalah menerusi proses perkhidmatan dan penasihatan yang bersesuaian. Terdapat Apps seperti Noom, Talkspace dan BetterHelp khusus untuk memantau dan mengendalikan kesejahteraan diri secara efisien.
Bantuan AI sebagai sumber akademik - Calon pascasiswazah perlu melengkapkan kemahiran diri dengan ilmu yang berkaitan penggunaan alatan utama AI untuk mencari dan mendapatkan sumber rujukan yang signifikan, relevan dan sesuai dengan penyelidikan yang dijalankan. AI berkebolehan memberi cadangan sumber misalnya, buku-buku rujukan, artikel dan jurnal yang relevan, di samping menggunakan bantuan AI tutor untuk menjana maklumat berkaitan kajian yang dilakukan.
Menerusi integrasi kesemua alat dan juga strategi yang sesuai, calon-calon pascasiswazah boleh menguruskan beban penyelidikan dan akademik secara berkesan, menguruskan masa secara lebih efisien, dapat mengekal dan menyiapkan tugasan penyelidikan dan tugasan pembelajaran dalam tempoh yang ditetapkan. Hal ini kerana AI dapat menyaring artikel dan membantu dalam memilih bahan bacaan yang sesuai dan berkuailti berkaitan kajian secara lebih cepat.
Etika dan integriti dalam akademik
Menjadi keutamaan kepada calon-calon pascasiswazah supaya berpegang kepada etika, nilai dan integriti dalam melaksanakan perkara akademik dan penyelidikan. Mereka perlu menseimbangkan antara kelebihan ataupun kepentingan AI dengan integriti akademik dalam mengejar GOT.
Adalah wajar mereka memberi pertimbangan serta perhatian dalam perkara seperti keaslian karya akademik dan menjauhi amalan plagiat yang akan merosakkan serta meruntuhkan perkembangan akademia. Lebih penting lagi calon-calon perlu memahami dan boleh menjelaskan signifikan kajian yang dilakukan dengan yakin.
Dalam konteks keperluan etika misalnya, senarai rujukan perlu sesuai, relevan dan signifikan dengan fokus penyelidikan di samping menekankan novelti penyelidikan yang dijalankan.
Pengalaman penulis sebagai pensyarah dan penyelia calon-calon PhD telah melalui banyak perubahan seiring dengan perkembangan teknologi khususnya AI. Salah seorang graduan PhD penulis yang telah menamatkan pengajian dalam tempoh tiga tahun dan kini berkhidmat sebagai pensyarah di UPM, mengakui bahawa dengan bantuan teknologi dan AI sangat membantu dalam menyelesaikan pengajiannya.
Jelas bahawa teknologi khususnya AI dilihat signifikan dalam proses pembelajaran dan penyelidikan seterusnya membantu calon-calon mencapai GOT. Namun, dalam keterujaan mengejar GOT mereka perlu mengambil kira keperluan etika dan integriti dalam pembelajaran, penyelidikan, serta penulisan akademik.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Nor Aniza Ahmad ialah Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Antarabangsa) di Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. Kepakaran beliau adalah dalam bidang Psikologi Pendidikan