TINTA MINDA

UiTM: Amanah Kemerdekaan, Warisan Bangsa Untuk Masa Depan

03/09/2025 09:36 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @Sahibuddin

Setiap kali bulan Ogos menjelma, kita bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi turut merenung erti kemerdekaan yang sebenar. Kemerdekaan bukan hanya bebas daripada penjajahan, tetapi juga bebas daripada kejahilan, kemiskinan, dan keterpinggiran.

Dalam konteks inilah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) harus dilihat sebagai salah satu simbol kemerdekaan paling agung dalam kebebasan untuk memperoleh pendidikan tinggi yang adil dan terbuka kepada anak bangsa.

Pendidikan adalah antara simbol kemerdekaan paling bernilai. Jika sebelum merdeka bangsa Melayu, Orang Asli, serta anak negeri Sabah dan Sarawak sering tercicir daripada arus pendidikan tinggi, lahirnya UiTM adalah jawapan kepada jurang tersebut.

UiTM bukan sekadar institusi akademik tetapi manifestasi Perlembagaan Persekutuan

UiTM bukan sekadar institusi akademik, tetapi manifestasi Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memastikan hak Melayu dan Bumiputera tidak dipinggirkan dalam pembangunan negara.

Transformasi UiTM bermula pada tahun 1956 dengan nama Dewan Latehan RIDA, sebelum bertukar menjadi Institut Teknologi MARA (ITM) dan akhirnya mencapai status UiTM.

Tahun hadapan, UiTM bakal menjejak usia 70 tahun sejak penubuhan Dewan Latehan RIDA, selari dengan 68 tahun kemerdekaan negara menjadikannya institusi pendidikan tinggi yang signifikan dalam naratif pembangunan bangsa.

UiTM adalah strategi kebangsaan untuk melahirkan ribuan profesional Bumiputera doktor, jurutera, peguam, akauntan, arkitek, usahawan, malah pemimpin negara. Tanpa platform ini, jurang pendidikan dan sosioekonomi akan terus melebar.

Menuai hasil penubuhan UiTM

Hari ini, hasilnya jelas: tokoh-tokoh tersohor dan ribuan alumni UiTM kini memimpin institusi kerajaan, korporat, akademia, dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Lebih penting lagi, UiTM mengekalkan yuran pengajian terendah di negara ini, sekali gus memastikan akses pendidikan tinggi untuk orang Melayu, Orang Asli, serta anak negeri Sabah dan Sarawak khususnya golongan B40 dan anak luar bandar. Seperti ditegaskan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, UiTM kekal sebagai wadah pengupayaan sosial dan ekonomi berpaksikan prinsip keadilan untuk bangsa dan negara.

Dakwaan tidak berasas terhadap UiTM

Mutakhir ini timbul suara-suara yang mendakwa UiTM menggadaikan prinsip pendidikan menerusi program UiTMSeatPlus. Dakwaan ini ternyata tidak berasas. Hakikatnya, daripada lebih 199,000 pelajar UiTM di seluruh negara, hanya 46 orang sahaja diterima melalui UiTMSeatPlus.

Angka kecil ini sama sekali tidak menjejaskan dasar asal UiTM yang berteraskan Perkara 153.

UiTMSeatPlus hanyalah laluan tambahan kecil dan khusus untuk memenuhi keperluan tertentu, tanpa menjejaskan kuota utama Bumiputera yang ditawarkan melalui saluran rasmi UPU.

Melabelkannya sebagai “pintu belakang” adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan masyarakat. UiTM tetap teguh berpegang pada mandat asal menyediakan pendidikan tinggi berkualiti untuk anak bangsa, khususnya golongan B40 dan luar bandar.

Kelestarian kewangan

UiTM juga giat memperkukuh dana endowmen universiti bagi menjamin kelestarian kewangan. Antara inisiatif utama ialah Kempen Potongan Gaji serendah RM10 sebulan dalam kalangan staf, serta Kempen 1 Alumni 1 Ringgit semasa konvokesyen sebagai simbolik menyumbang kembali kepada alma mater.

Selain itu, UiTM menggerakkan kerjasama bersama alumni berprofil tinggi, tokoh korporat dan rakan industri bagi tajaan biasiswa, penyelidikan dan pembangunan fasiliti, termasuk konsep tajaan ruang (naming rights) di fakulti dan kampus cawangan. UiTM juga menubuhkan Dana Biasiswa Endowmen khusus untuk membantu pelajar, terutamanya daripada golongan B40.

Model universiti ternama dunia membuktikan bahawa kelestarian kewangan banyak bergantung kepada dana endowmen dan wakaf.

Universiti Al-Azhar di Mesir, universiti-universiti di Turkiye, malah universiti Barat terkemuka menjadikan endowmen sebagai sumber utama operasi. Universiti Islam pula berkembang dengan sokongan wakaf. Walaupun kerajaan akan terus membiayai UiTM, universiti ini mesti berdaya usaha mencari sumber kewangan sendiri.

Penarafan dunia

Meskipun berskala besar, UiTM terus mendaki tangga penarafan dunia pencapaian tertinggi dalam sejarahnya namun tetap teguh berakar kepada mandat asal, iaitu berkhidmat untuk anak bangsa Bumiputera dengan yuran pengajian termurah antara universiti awam di negara ini.

Persoalannya, mengapa masih ada pihak yang cuba meruntuhkan keyakinan terhadap UiTM sedangkan universiti ini terbukti melahirkan ratusan ribu profesional yang menyumbang kepada pembangunan negara?

Tanpa UiTM, jurang sosioekonomi antara kaum pasti lebih melebar, dan amanah kemerdekaan ini belum selesai jika generasi baharu dibiarkan tercicir daripada dunia ilmu.

Jatidiri mahasiswa

UiTM bukan sekadar menara ilmu, tetapi juga tapak pembinaan jati diri mahasiswa berlandaskan agama, bangsa dan tanah air. Dari sinilah lahir graduan yang bukan sahaja mahir dalam bidang profesional, tetapi juga berjiwa patriotik dan bersedia menyumbang kepada negara.

Seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-Mujadilah (58:11): "Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat."

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT mengangkat kedudukan orang yang beriman dan memiliki ilmu, termasuk ilmu agama. Oleh itu, menuntut ilmu di mana-mana institusi, termasuk di universiti, adalah satu keutamaan yang membawa keberkatan serta menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.

Warisan perjuangan perlu diteruskan

Warisan perjuangan ini perlu diteruskan. Seperti kata pepatah Melayu, “takkan Melayu hilang di dunia” begitulah UiTM, selagi ia teguh dengan maqasid penubuhannya. UiTM akan terus menjadi benteng ilmu dan masa depan Bumiputera, seiring aspirasi negara melalui gagasan GRU 2025.

Ketika kita melaungkan “Merdeka!” pada 31 Ogos ini, jangan hanya mengibarkan Jalur Gemilang di rumah dan kenderaan.

Hayatilah maknanya bahawa kemerdekaan adalah peluang untuk membina masa depan melalui ilmu. UiTM berdiri hari ini sebagai bukti bahawa kemerdekaan bukan sekadar simbol, tetapi realiti yang membuka ruang kepada anak bangsa untuk mengejar impian.

UiTM menjadi sebahagian simbol kemerdekaan pendidikan

Maka dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-68 ini, UiTM bukan sahaja menara ilmu, tetapi juga simbol kemerdekaan pendidikan benteng maruah bangsa, wadah pembinaan jati diri, dan medium untuk merealisasikan gagasan Malaysia sebagai sebuah negara yang adil, seimbang dan berdaya saing di mata dunia.

Kemerdekaan tidak akan bermakna jika bangsa masih terbelenggu dengan kejahilan dan ketinggalan. UiTM membuktikan bahawa dengan ilmu, Melayu dan Bumiputera mampu bangkit, membina kekuatan, dan menyumbang kembali kepada tanah air. Inilah roh kemerdekaan sebenar bukan sekadar kibaran Jalur Gemilang, tetapi menyuburkan semangat patriotisme melalui pendidikan.

-- BERNAMA

Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @Sahibuddin, FASc ialah Naib Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)