TINTA MINDA

Celik Kepenggunaan Tunjang Utama Kesejahteraan Ekonomi

13/08/2025 11:03 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Khairunesa Isa

Realitinya, setiap kali gaji masuk, belum sempat hujung bulan baki sudah tinggal cukup-cukup makan. Harga barang terus naik, bil utiliti melambung, dan bantuan kerajaan pula makin disasar. Dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar, rakyat tidak lagi boleh hanya berharap pada bantuan luar atau menunggu harga turun sendiri.

Apa yang kita perlukan kini ialah satu bentuk ‘ketahanan baharu’ iaitu celik kepenggunaan. Bukan sekadar tahu mencari diskaun, tetapi faham bagaimana ekonomi berfungsi, bagaimana dasar kerajaan memberi kesan kepada dompet kita, dan bagaimana membuat keputusan kewangan yang bijak. Pendidikan kepenggunaan kini bukan lagi satu pilihan sampingan, tetapi keperluan asas dalam membina masyarakat yang lebih matang, berdaya tahan dan bertanggungjawab.

Lebih Daripada Sekadar Berbelanja Bijak

Pendidikan kepenggunaan bukan sekadar tahu mencari harga promosi di pasar raya. Ia menuntut keupayaan untuk menganalisis struktur harga, memahami kesan cukai seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), serta mengenal pasti kos tersembunyi dalam sesuatu barangan atau perkhidmatan. Sayangnya, sebahagian besar rakyat Malaysia masih belum celik dalam hal ini terutamanya apabila menyentuh soal beza antara keperluan dan kehendak.

Generasi muda, khususnya, sering keliru membezakan mana satu barang keperluan dan mana satu hanya kehendak semata-mata. Pengaruh media sosial dan gaya hidup digital memaparkan seolah-olah telefon pintar terbaharu, barangan berjenama, atau kopi premium setiap pagi adalah suatu kewajipan. Akibatnya, perbelanjaan melebihi pendapatan dan ramai akhirnya terperangkap dalam hutang atau tekanan kewangan.

Sebagai contoh, apabila SST diperkenalkan semula pada tahun 2018, ramai tidak memahami bahawa cukai ini dikenakan di peringkat pengilang dan pembekal, bukan secara langsung kepada pengguna akhir. Namun, kesannya tetap terasa apabila harga barang meningkat. Tanpa kefahaman ini, pengguna mudah terjebak dalam kekeliruan, malah ada yang menuding jari secara membuta tuli terhadap peniaga atau kerajaan, tanpa memahami struktur kos sebenar.

Menurut kajian oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), hanya 36 peratus rakyat Malaysia memahami cara cukai SST berfungsi. Ini menunjukkan jurang literasi kepenggunaan yang perlu ditangani segera.

Subsidi Bersasar: Adil Atau Mengelirukan?

Isu subsidi minyak antara contoh terbaik yang menggambarkan pentingnya pemahaman dasar awam dalam kalangan rakyat. Menurut data Kementerian Kewangan, hampir 30 peratus subsidi petrol sebelum ini dinikmati oleh kumpulan T20. Dengan pelaksanaan subsidi bersasar pada 2025, rakyat diminta ‘mengubah cara hidup’ tetapi tanpa sokongan ilmu dan strategi, ramai berasa tertekan.

Pendidikan kepenggunaan boleh membantu rakyat membezakan keperluan dan kehendak, menggunakan bahan api secara cekap, dan menilai alternatif seperti kenderaan elektrik atau pengangkutan awam. Di negara-negara maju, literasi ini sudah dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah rendah lagi. Malaysia tidak boleh ketinggalan.

Elektrik Mahal? Bijak Guna Tenaga

Tarif elektrik turut menjadi beban kepada keluarga berpendapatan sederhana. Tetapi ramai tidak menyedari bahawa penggunaan tenaga boleh dioptimumkan. Misalnya, menggunakan penghawa dingin dengan teknologi inverter dapat menjimatkan sehingga 30 peratus tenaga. Malangnya, ramai membeli peralatan elektrik tanpa membaca label kecekapan tenaga.

Di sinilah peranan pendidikan kepenggunaan—membimbing pengguna membuat keputusan berdasarkan nilai jangka panjang, bukan sekadar harga semasa. Menurut Suruhanjaya Tenaga, jika satu juta isi rumah menggantikan lampu biasa kepada diod pemancar cahaya (Light Emitting Diode-LED), negara boleh menjimatkan hampir RM50 juta setahun. Angka ini bukan kecil.

Dunia Digital: Mudah Beli, Mudah Tertipu

Penipuan dalam talian semakin berleluasa. Pada 2024, lebih 34,000 kes penipuan kewangan direkodkan di Malaysia dengan kerugian mencecah RM1.3 bilion. Modus operandi penipu semakin canggih menyamar sebagai pegawai bank, pelabur mata wang kripto, malah ‘penjual amal’.

Tanpa pendidikan kepenggunaan, ramai terpedaya dengan janji untung besar. Pengguna perlu diajar untuk memeriksa sumber, memahami risiko pelaburan, dan mengelak FOMO (fear of missing out). Ilmu adalah benteng terbaik melawan tipu daya digital.

Wang Kecil, Perancangan Besar

Ramai merasakan perancangan kewangan hanya untuk yang bergaji besar. Namun hakikatnya, dengan pendapatan kecil sekalipun, perancangan yang bijak boleh membawa ketenangan jangka panjang. Pendidikan kepenggunaan memberi pendedahan tentang tabung kecemasan, belanjawan 50/30/20, dan mengurus hutang dengan berhemah.

Sebagai contoh, simpanan RM100 sebulan dalam Tabung Haji atau Amanah Saham Bumiputera (ASB) sejak usia 25 tahun, boleh memberi pulangan lebih RM50,000 menjelang persaraan. Ilmu kecil, impak besar.

Hakikatnya, dalam ekonomi pasaran bebas, pengguna memiliki pengaruh yang besar. Dengan ilmu yang tepat, mereka mampu membuat pilihan beretika, menuntut ketelusan harga, dan menolak amalan perniagaan yang mengelirukan. Namun, kuasa ini hanya benar-benar berkesan apabila disertai dengan kefahaman dan kepekaan.

Pendidikan kepenggunaan bukan sekadar alat untuk berbelanja secara bijak, tetapi asas kepada pembentukan masyarakat yang celik, rasional dan bertanggungjawab. Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi, pendidikan inilah yang menjadi pertahanan paling ampuh bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi pemerkasaan minda.

--BERNAMA

Prof. Madya Dr. Khairunesa Isa ialah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)