Isu buli kini semakin membimbangkan sehingga ada yang meragut nyawa. Buli bukan sahaja melibatkan keganasan fizikal, malah turut merangkumi serangan mental, emosi dan yang semakin berleluasa kini ialah buli siber. Perkara ini perlu dipandang serius agar tidak terus berlarutan sehingga menjadikan sekolah atau persekitaran sebagai tempat yang tidak selamat.
Menurut Smith dan Thompson, buli didefinisikan sebagai satu set tingkah laku yang mana dilakukan secara sengaja dan menyebabkan kemudaratan secara fizikal serta psikologi penerimanya. Tingkah laku buli termasuklah perilaku atau tindakan yang bersifat mengejek, penyisihan sosial dan memukul.
Alternatif Untuk Tingkatkan Keyakinan
Dalam mencari penyelesaian, sukan bela diri dilihat sebagai satu daripada alternatif berkesan untuk melahirkan individu yang berani dan berkeyakinan. Sukan ini bukan sekadar mengajar seni mempertahankan diri, malah turut menekankan nilai-nilai murni seperti disiplin, tanggungjawab, hormat-menghormati serta membina keyakinan dan kekuatan mental. Halangan paling ketara untuk berjaya di sekolah dan pada masa hadapan walaupun dalam keadaan yang sukar ialah keupayaan pelajar untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran mencabar atau kritikal dan ia dirujuk sebagai mekanisme ketahanan diri.
Pelajar yang terlibat dalam kes salah laku remaja mempunyai tahap ketahanan diri yang rendah dan tidak dapat mengatasi kesukaran mereka sendiri dalam hidup seperti konflik dengan ibu bapa, masalah kewangan dan tekanan rakan sebaya. Justeru, mereka yang mempunyai ketahanan diri yang lemah, tidak dapat membuat keputusan dan mendapati ia agak mencabar untuk menangani semua kesukaran. Malah pelajar mudah hilang minat, enggan membuat perubahan dan menghadapi masalah mengawal kemarahan serta kecewa.
Sukan Bela Diri Membentuk Jati Diri
Penglibatan seseorang dalam sukan bela diri seperti silat, taekwondo, karate, wushu, muay thai, tinju atau judo mampu membentuk jati diri yang jitu. Semangat dan keyakinan diri yang tinggi ini dapat mencegah individu daripada terus menjadi mangsa buli kerana lazimnya pembuli akan memilih mangsa yang kelihatan lemah atau mudah dipengaruhi. Mangsa juga akan dibuli atau dijadikan sasaran pembuli bukan hanya kerana kekurangan yang dimiliki tetapi boleh juga berpunca dari kelebihan yang dimilikinya.
Dengan ilmu dan pengalaman daripada sukan bela diri ini, mereka mampu bertindak dengan lebih berani, bukan untuk menyerang, tetapi untuk tidak mudah tunduk terhadap ancaman atau tekanan. Nilai disiplin yang diterapkan juga menjadikan mereka lebih bijak mengawal situasi ketika berhadapan dengan provokasi.
Sukan Bela Diri Pupuk Semangat Berpasukan, Saling Menghormati
Antara elemen utama dalam sukan bela diri ialah penghormatan kepada diri sendiri, rakan seperjuangan dan juga lawan. Dalam sukan silat misalnya, sebelum perlawanan bermula, pesilat perlu memberi tanda hormat kepada lawan sebagai simbol persaudaraan. Ini menunjukkan bahawa pertarungan adalah untuk pembangunan diri, bukan untuk menindas. Di akhir perlawanan, tanda hormat sekali lagi diberikan kepada lawan dan juri, menanam nilai hormat sesama manusia serta membina peribadi yang luhur.
Selain itu, penglibatan dalam sukan bela diri dapat dijadikan sebagai salah satu medium untuk menyalurkan tenaga ke arah yang positif. Aktiviti ini melatih individu mengawal emosi dan tenaga dalaman. Teknik pernafasan, kawalan fokus dan ketenangan merupakan asas penting yang perlu dikuasai oleh setiap peserta. Oleh itu, mereka didedahkan dengan cara yang sihat dan terarah untuk melepaskan tekanan atau mengisi masa terluang. Pendedahan ini juga membantu membentuk hubungan yang positif dalam komuniti yang sihat, di samping memupuk semangat persahabatan dan kerjasama berpasukan.
Adalah diharapkan agar sukan bela diri dapat dijadikan sebagai salah satu alternatif berkesan dalam usaha membina individu yang berani mempertahankan diri daripada ancaman buli. Kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk pentadbiran sekolah, ibu bapa, kelab, persatuan, alumni dan kerajaan amat penting untuk merealisasikannya. Ini merupakan satu usaha bersepadu dalam melahirkan ‘pejuang’ bukan hanya dari segi fizikal, tetapi generasi yang kuat jiwanya, bijak mengawal emosi dan tidak mudah tunduk kepada tekanan sosial.
--BERNAMA
Farhawahidah Ahmad Puad ialah Pegawai Belia dan Sukan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)