Selepas dua tahun menamatkan penyertaan dalam program China International Press Communication Centre pada Disember 2023, penulis kembali ke bumi Tembok Besar bagi membuat liputan ‘Two Sessions’ yang berlangsung selama seminggu, awal Mac lalu.
Berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada barisan wartawan antarabangsa yang membuat liputan ‘Two Sessions’ di Beijing, bukan sahaja berpeluang mengikuti pembentangan utama secara langsung di Great Hall of the People, malah turut menghadiri beberapa sidang media rasmi.
Platform ini membuka ruang kepada pengamal media dari pelbagai negara untuk mengemukakan soalan secara terus kepada wakil kerajaan dan pembuat dasar, memberi gambaran bagaimana dasar China dikomunikasikan kepada komuniti antarabangsa.
Bagi saya, ini menunjukkan usaha pihak penganjur untuk memberi lebih penjelasan tentang agenda yang dibentangkan.
Dari dokumen rasmi yang diedarkan dan sidang media yang diadakan, beberapa perkara utama jelas menjadi fokus ‘Two Sessions’ tahun ini.
Rangka Kerja Lima Tahun 2026-2030
Antaranya ialah Rangka Kerja Lima Tahun ke‑15 (2026‑2030)-pelan pembangunan yang akan menjadi asas kepada dasar negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Pelan ini mengetengahkan idea pertumbuhan berkualiti tinggi dan penekanan kepada inovasi serta teknologi, berbeza sedikit daripada pendekatan pertumbuhan pesat yang sering menjadi tajuk utama sebelum ini.
Dalam laporan kerja kerajaan yang dibentangkan, terdapat sasaran pertumbuhan ekonomi pada 2026 yang boleh dianggap lebih “realistik” berbanding tahun‑tahun sebelumnya.
Angka sasaran ini yang disebut dalam sidang media dan dokumen rasmi memberi isyarat bahawa China kini memberi tumpuan terhadap kestabilan dan daya tahan ekonomi, bukannya sekadar mengejar kadar pertumbuhan tinggi semata‑mata.
Selain itu, istilah “teknologi” disebut berulang kali dalam laporan dan perbincangan.
Pembangunan Teknologi Maju
Penekanan kepada pembangunan teknologi maju, termasuk teknologi digital dan penyelidikan serta pembangunan, memberi bayangan bahawa China ingin mengukuhkan posisi dalam arena teknologi global.
Ini memberi ruang interpretasi bahawa dasar tersebut berpotensi mempengaruhi hubungan teknologi dan rantaian bekalan dunia, kerana banyak negara kini saling bergantung antara satu sama lain dalam sektor berkenaan.
Perbincangan juga menyoroti usaha untuk memperkukuh pembangunan dalam sektor tenaga hijau dan alam sekitar, serta kelulusan beberapa undang‑undang baru yang berkaitan.
Walaupun isu ini mungkin kelihatan teknikal bagi sesetengah pembaca, perbualan media dan penjelasan wakil kerajaan jelas mengaitkannya dengan usaha jangka panjang untuk mewujudkan dasar yang lebih mampan.
Sebagai wartawan yang cuba meneliti maklumat ini, saya dapati beberapa perkara yang dibincangkan memberi impak bukan sahaja kepada China, tetapi turut mencetuskan persoalan dan minat di luar negara termasuk Malaysia.
Hubungan dagang antara Malaysia dan China yang cukup rapat bermaksud sebarang perubahan dasar atau tumpuan baru di negara ini boleh memberi implikasi kepada aliran perdagangan dan pelaburan.
Sebagai contoh, tumpuan kepada teknologi serta kerjasama dalam pembangunan tenaga hijau boleh menjadi peluang kerjasama antara kedua‑dua negara, terutamanya dalam sektor yang kini menjadi keutamaan bersama di peringkat global.
Namun begitu, bukan semua yang dibincangkan memberi kesan positif secara automatik.
Hala Tuju China
Penekanan kepada kemandirian teknologi juga mencetuskan persoalan tentang bagaimana negara lain perlu menyesuaikan strategi mereka dalam menghadapi persaingan atau kerjasama dalam sektor berkenaan.
Dari sudut pemerhatian, ‘Two Sessions’ memberi isyarat bahawa dasar global kini semakin rumit, dan kerjasama ekonomi dan teknologi perlu ditangani dengan teliti dan bijak.
Secara keseluruhan, ‘Two Sessions’ bukan sekadar medan pembentangan dasar domestik.
Ia juga menyediakan gambaran awal kepada hala tuju dasar China dalam tempoh beberapa tahun akan datang, dengan implikasi yang lebih luas daripada sempadan negara itu sendiri.
Dari Beijing, apa yang saya lihat dan baca adalah satu gambaran tentang bagaimana dasar yang dirangka di negara besar seperti China boleh memberi kesan kepada landskap ekonomi dan kerjasama global.
Sebagai wartawan, ini bukan sahaja liputan berita, tetapi juga satu pengalaman memahami dinamika perkembangan dunia yang sentiasa berubah.
--BERNAMA
Nurhafizah Tan ialah wartawan BERNAMA yang membuat liputan Sesi Keempat Kongres Rakyat Kebangsaan ke-14 (NPC) dan Sesi Keempat Persidangan Perundingan Politik Rakyat China ke-14 (CPPCC) di China, dari 3 hingga 12 Mac 2026.