Oleh Prof Dr Firdaus Mukhtar
Ramai ibu bapa berdepan tekanan emosi apabila anak terlalu memilih makanan, enggan makan atau hanya mahu makanan tertentu setiap hari.
Situasi yang sering dianggap “fasa biasa” ini boleh menjadi lebih serius apabila berat badan anak menurun, tumbesaran terganggu dan waktu makan bertukar menjadi konflik harian dalam keluarga.
Menurut pakar, masalah pemakanan kanak-kanak bukan sekadar isu “anak degil makan”, sebaliknya melibatkan gabungan faktor biologi, psikologi, sensori, emosi dan persekitaran keluarga.
Justeru, pendekatan seperti memaksa makan, mengugut atau memberi ganjaran semata-mata sering tidak memberi kesan jangka panjang.
Pengalaman makan boleh menjadi menakutkan
Bagi kebanyakan orang, makan adalah proses semula jadi apabila lapar, namun bagi sesetengah kanak-kanak, pengalaman makan boleh menjadi sesuatu yang menakutkan atau tidak selesa.
Kanak-kanak yang mengalami refluks gastrik misalnya mungkin mengaitkan makanan dengan rasa sakit. Mereka yang mengalami sembelit kronik pula takut makan kerana bimbang kesakitan ketika membuang air besar.
Selain itu, terdapat kanak-kanak yang mempunyai sensitiviti sensori tinggi sehingga tekstur tertentu seperti berlendir, rangup atau berbau kuat menyebabkan rasa tidak selesa dan penolakan terhadap makanan.
Faktor psikologi juga memainkan peranan besar. Kanak-kanak yang sering dimarahi atau dipaksa makan boleh mula melihat waktu makan sebagai situasi penuh tekanan.
Lama-kelamaan, mereka menjadi semakin menolak makanan, menangis, mengamuk atau enggan duduk di meja makan.
Penggunaan skrin ketika makan semakin membimbangkan
Dalam era digital hari ini, penggunaan telefon pintar atau tablet ketika makan semakin menjadi kebiasaan.
Ramai ibu bapa menggunakan skrin bagi “memudahkan” anak makan kerana anak lebih mudah membuka mulut apabila menonton video.
Walaupun kaedah ini membantu dalam jangka pendek, pakar memberi amaran bahawa penggunaan skrin secara berlebihan semasa makan boleh mengganggu perkembangan kemahiran makan secara semula jadi.
Kanak-kanak menjadi kurang peka terhadap rasa lapar dan kenyang, kurang memberi perhatian kepada tekstur makanan, serta kehilangan peluang berinteraksi dengan ahli keluarga.
Hakikatnya, waktu makan merupakan ruang penting untuk perkembangan emosi dan komunikasi anak.
Suasana makan yang tenang, disertai perbualan dan interaksi keluarga, membantu membina hubungan yang lebih positif terhadap makanan.
Tekanan ibu bapa turut mempengaruhi anak
Di sebalik cabaran ini, ibu bapa sendiri sering berdepan tekanan emosi yang tinggi. Ada yang risau anak tidak mendapat nutrisi mencukupi, dibandingkan dengan anak orang lain atau menerima kritikan daripada ahli keluarga mengenai cara penjagaan mereka.
Tidak kurang juga ibu bapa yang sanggup memasak menu berbeza setiap hari, memujuk, merayu malah mengejar anak satu rumah semata-mata untuk memastikan mereka makan.
Menurut ahli psikologi, tekanan ibu bapa boleh mempengaruhi suasana makan dalam keluarga.
Anak mudah merasai ketegangan emosi ibu bapa, sekali gus menjadikan waktu makan lebih mencabar.
Oleh itu, intervensi yang berkesan bukan sahaja tertumpu kepada anak, tetapi turut membantu ibu bapa mengurus emosi, membina keyakinan dan memahami perkembangan pemakanan anak secara lebih realistik.
Perubahan kecil juga satu kemajuan
Pakar menjelaskan bahawa perubahan dalam terapi pemakanan jarang berlaku secara mendadak.
Sebaliknya, kemajuan sering bermula dengan perubahan kecil seperti anak mula duduk lebih lama di meja makan, sanggup menyentuh makanan baru atau mula mencuba gigitan kecil.
Walaupun kelihatan kecil, perkembangan ini sebenarnya sangat bermakna dalam proses pemulihan pemakanan kanak-kanak.
Pakar kanak-kanak, pakar dietetik, ahli terapi carakerja, ahli pertuturan dan ahli psikologi memainkan peranan penting membantu keluarga memahami bahawa proses ini memerlukan masa, kesabaran dan konsistensi.
Pendekatan paksaan tidak lagi digalakkan
Pendekatan moden dalam intervensi pemakanan kini lebih menekankan hubungan emosi dan keselamatan psikologi berbanding paksaan.
Kanak-kanak lebih mudah belajar makan apabila mereka berasa selamat dan tidak dipaksa, mempunyai rutin makan yang konsisten, diberi peluang meneroka makanan dan melihat contoh pemakanan positif daripada ibu bapa.
Antara strategi yang disarankan termasuk menetapkan waktu makan yang konsisten, mengurangkan penggunaan skrin ketika makan, mengelakkan ugutan berkaitan makanan dan mengamalkan makan bersama sebagai keluarga.
Selain itu, ibu bapa juga disaran memberi pendedahan berulang kepada makanan baru tanpa tekanan serta memuji usaha kecil anak, bukan hanya jumlah makanan yang dihabiskan.
Bila perlu mendapatkan bantuan profesional?
Ibu bapa disaran mendapatkan penilaian profesional sekiranya pilihan makanan anak terlalu terhad, berat badan atau tumbesaran terjejas, serta waktu makan sentiasa penuh konflik.
Bantuan profesional juga perlu dipertimbangkan jika anak menunjukkan ketakutan melampau terhadap makanan tertentu, kerap muntah atau tersedak ketika makan, serta mempunyai isu perkembangan seperti autisme, ADHD atau kelewatan perkembangan.
Pendekatan multidisiplin melibatkan doktor, pakar dietetik, ahli terapi carakerja, ahli pertuturan dan ahli psikologi sering memberikan hasil lebih baik kerana setiap disiplin melihat masalah daripada sudut yang berbeza.
Membina hubungan sihat dengan makanan
Matlamat utama bukan sekadar memastikan anak “menghabiskan makanan”, tetapi membantu mereka membina hubungan yang sihat dengan makanan untuk jangka panjang.
Kanak-kanak yang mempunyai pengalaman makan yang positif lebih cenderung menjadi individu yang yakin mencuba makanan baru, mampu mengenali isyarat lapar dan kenyang serta mempunyai hubungan sosial yang lebih baik ketika makan.
Masyarakat juga perlu mengurangkan stigma terhadap ibu bapa yang mempunyai anak dengan masalah pemakanan kerana setiap kanak-kanak berkembang secara berbeza dan sesetengah keluarga memerlukan lebih banyak sokongan berbanding kritikan.
Cabaran pemakanan kanak-kanak bukan tanda kegagalan ibu bapa, tetapi isu kompleks yang memerlukan kefahaman, kesabaran dan intervensi berasaskan ilmu.
Dengan sokongan yang tepat, kebanyakan kanak-kanak mampu membina pengalaman makan yang lebih positif, selamat dan menyeronokkan sepanjang hayat.
--BERNAMA
Prof Dr Firdaus Mukhtar ialah pensyarah di Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia HP: 012-302 6353 Emel: drfirdaus@upm.edu.my