Oleh Nurul Nisha Mohd Shah dan Mohd Radzman Basinon
Beberapa tahun lalu, bekerja dari rumah dianggap sebagai simbol kecemasan global.
Situasi pandemik yang berlaku telah memaksa organisasi menutup pejabat, memindahkan mesyuarat ke skrin digital dan menukar ruang makan rumah menjadi workstation sementara.
Namun, selepas dunia kembali bergerak seperti biasa, satu perkara menjadi semakin jelas.
Work From Home (WFH) atau Bekerja Dari Rumah (BDR) bukan lagi sekadar solusi sementara, sebaliknya sedang membentuk struktur tatacara kerja baharu dunia moden.
Menurut laporan International Labour Organization dan Gallup pada 2025, lebih 60 peratus organisasi global kini mengamalkan model kerja hibrid sama ada secara penuh atau separa.
Malaysia turut memperlihatkan trend yang sama apabila semakin banyak sektor swasta mula menawarkan fleksibiliti lokasi kerja.
Berkuatkuasa 15 April 2026, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan pelaksanaan dasar BDR untuk penjawat awam secara berperingkat dan terpilih.
Namun, di sebalik slogan “fleksibiliti” dan “kebebasan bekerja”, muncul satu persoalan yang semakin sukar dijawab secara jujur.
Adakah manusia benar-benar bekerja dari rumah, atau sekadar berada di rumah sambil kelihatan seperti bekerja?
Inilah dilema terbesar budaya kerja digital masa kini.
Budaya kerja baharu
Teknologi berjaya meruntuhkan dinding pejabat fizikal, tetapi dalam masa sama turut meruntuhkan sempadan psikologi antara disiplin dan kelonggaran.
Dahulu, produktiviti sering dikaitkan dengan kehadiran fizikal. Selagi seseorang duduk di pejabat dari pukul 8 pagi hingga 5 petang, pekerja tersebut dianggap “bekerja”.
Namun, dunia digital mengubah logik tersebut secara drastik.
Hari ini, seseorang pekerja boleh hadir ke semua mesyuarat yang diadakan melalui platform Google Meet, membalas mesej di Microsoft Teams dan kelihatan aktif dalam kumpulan WhatsApp pejabat, tetapi hasil kerja sebenar masih tidak bergerak.
Fenomena ini melahirkan budaya baharu yang semakin membimbangkan, iaitu “productivity theatre”. Pekerja kelihatan sibuk, tetapi output sebenar tidak setanding masa yang digunakan.
Dalam konteks tertentu, status “online” menjadi lebih penting daripada penyelesaian tugasan. Lebih membimbangkan, budaya ini mula menghasilkan satu bentuk keletihan moden yang pelik.
Manusia sentiasa kelihatan bekerja, tetapi semakin kurang benar-benar fokus bekerja.
Menurut Microsoft Work Trend Index 2025, purata pekerja digital menerima ratusan notifikasi dan mesej setiap hari sehingga mengganggu fokus mendalam terhadap tugasan utama.
Kajian tersebut turut menunjukkan ramai pekerja menghabiskan sebahagian besar waktu kerja untuk membalas mesej dan menghadiri mesyuarat, bukannya menghasilkan kerja bernilai tinggi.
Akibatnya, ramai individu merasa letih walaupun tidak benar-benar produktif.
Dalam keadaan beginilah integriti menjadi isu paling kritikal dalam budaya kerja moden.
BDR: Sistem menguji kejujuran, intergriti
Hakikat sebenar WFH bukan berkaitan laptop, internet atau aplikasi mesyuarat. Sebaliknya, sistem tersebut sedang menguji karakter manusia pada tahap paling jujur.
Ketika tiada ketua berdiri di belakang, tiada rakan sekerja memerhati dan tiada suasana formal pejabat mengawal tingkah laku, apa sebenarnya yang dilakukan oleh seorang pekerja?
Di sinilah nilai integriti diuji secara senyap. Integriti bukan sekadar slogan korporat dalam modul latihan sumber manusia. Integriti bermaksud menyelesaikan tugasan walaupun tiada sesiapa memerhati.
Pekerja yang berintegriti memahami makna tanggungjawab iaitu mereka dibayar gaji berdasarkan amanah dan hasil kerja, bukan semata mata kewujudan dalam talian.
Dalam konteks WFH, integriti menjadi lebih penting berbanding era kerja konvensional kerana sistem kerja moden semakin bergantung kepada kepercayaan.
Majikan tidak lagi mampu memantau setiap minit pergerakan pekerja. Organisasi yang cuba mengawal semuanya melalui software pemantauan ekstrem akhirnya mewujudkan budaya kerja toksik dan penuh paranoia.
Beberapa syarikat antarabangsa dilaporkan menggunakan teknologi surveillance seperti pengesanan papan kekunci, tangkapan skrin automatik dan kamera pemantauan semasa WFH.
Ironinya, pendekatan yang terlalu mengongkong tersebut bukan sahaja menurunkan moral pekerja, malah meningkatkan tekanan psikologi. Ternyata, masalah sebenar bukanlah tentang kekurangan teknologi pemantauan. Tetapi, masalah sebenar ialah tentang krisis kepercayaan.
Kepercayaan dan akauntabiliti
Budaya kerja masa depan tidak boleh dibina atas asas ketakutan. Sebaliknya, organisasi perlu bergerak kepada budaya berasaskan kepercayaan dan akauntabiliti.
Dalam analogi mudah, sesebuah organisasi ibarat kapal besar di tengah lautan. Nakhoda tidak mungkin dapat melihat setiap pendayung pada setiap masa.
Namun, kapal tetap akan sampai ke destinasi jika semua individu jujur menjalankan peranan masing-masing. Malangnya, tidak semua pekerja bersedia menghadapi kebebasan tersebut.
Ada yang menjadikan fleksibiliti sebagai alasan untuk melonggarkan disiplin. Ada juga yang mengambil kesempatan dan mula mencampurkan waktu kerja dengan hiburan digital sehingga produktiviti merosot secara perlahan.
Malah, muncul sindiran sinis dalam kalangan masyarakat bahawa “Work From Home” telah bertukar menjadi “Watch From Home”. Netflix terbuka pada satu skrin,sementara aplikasi mesyuarat terbuka pada skrin yang lain.
Bagaimanapun, menyalahkan pekerja semata-mata juga tidak adil. Hakikatnya, ramai pekerja moden sedang berdepan satu lagi krisis yang kurang dibincangkan, iaitu kerja yang tidak pernah benar-benar tamat.
Jika dahulu manusia “balik kerja”, hari ini kerja seolah-olah tinggal bersama mereka di rumah.
Teknologi mencipta budaya kerja tanpa henti
Notifikasi e-mail yang masuk pada pukul 11 malam dianggap normal. Mesej berkaitan tugasan pada hujung minggu dilihat sebagai komitmen kerja. Mesyuarat selepas waktu pejabat semakin diterima sebagai budaya biasa.
Kajian Deloitte Global Human Capital Trends menunjukkan bahawa burnout dalam kalangan pekerja hibrid telah meningkat secara konsisten kerana sempadan antara kehidupan peribadi dan pekerjaan semakin kabur.
Ramai individu tidak lagi tahu bila sebenarnya mereka sedang bekerja dan bila mereka benar-benar berehat. Teknologi yang kononnya memudahkan hidup turut mencipta budaya kerja tanpa henti.
Masalah utama bukan pada lokasi bekerja. Rumah bukan punca produktiviti merosot. Pejabat juga bukan jaminan disiplin meningkat.
Sebaliknya, punca sebenar terletak pada kegagalan manusia mengurus sempadan kehidupan secara sihat. Dalam konteks ini, kecerdasan emosi (EQ) memainkan peranan yang sangat besar.
Tidak semua pejabat merupakan ruang yang sihat secara emosi. Ada pekerja yang sebenarnya lebih produktif di rumah kerana kurang politik pejabat, kurang tekanan sosial dan kurang gangguan toksik.
Bagi sesetengah individu, mereka mampu berfikir dan melaksanakan tugasan dengan lebih baik apabila bekerja dalam suasana tenang bersama keluarga.
Hal ini kerana apabila seseorang dapat makan makanan rumah sendiri, melihat wajah anak ketika rehat atau mengurus emosi dalam ruang yang lebih selamat, tahap tekanan psikologi mereka akan menjadi lebih stabil.
Keadaan tersebut juga secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan fokus dan kesejahteraan mental.
Menurut kajian Stanford University, pekerja yang mempunyai fleksibiliti kerja menunjukkan tahap kepuasan hidup dan motivasi kerja yang lebih tinggi berbanding pekerja yang terlalu dikawal.
Bahkan, sebahagian organisasi mendapati kadar turnover pekerja menurun selepas pelaksanaan hybrid working.
Perkara ini secara tidak langsung membuktikan bahawa manusia bukan mesin yang hanya memerlukan meja dan komputer untuk berfungsi secara optimum.
Faktor emosi mempunyai hubungan langsung dengan produktiviti.
Pengurusan masa yang cekap
Pekerja yang merasa dipercayai cenderung bekerja dengan lebih bertanggungjawab. Sebaliknya, pekerja yang sentiasa merasa dicurigai akhirnya kehilangan motivasi dalaman.
Namun, harus diingat, fleksibiliti tanpa disiplin akhirnya akan menghasilkan kekacauan. Sebab itu, pengurusan masa menjadi antara cabaran terbesar budaya WFH.
Tanpa struktur jelas, ramai individu gagal membezakan antara masa kerja, masa rehat dan masa peribadi. Akibatnya, hidup menjadi bercampur aduk sehingga tubuh berada di rumah tetapi mental masih “di pejabat”.
Dalam konteks ini, konsep pengurusan masa 8-8-8 menjadi semakin relevan untuk disesuaikan dengan gaya kerja moden. Lapan jam bekerja, lapan jam rehat dan lapan jam tidur bukan sekadar formula klasik, tetapi mekanisme asas untuk menjaga keseimbangan hidup manusia.
Malangnya, ramai pekerja moden sudah kehilangan struktur tersebut. Masa yang dahulu dihabiskan dalam kesesakan trafik sebenarnya boleh ditukar menjadi ruang pembangunan diri.
Ada yang mula bersenam, membaca, memasak atau meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Namun, ada juga yang menggunakan lebihan masa tersebut untuk terus bekerja tanpa henti sehingga keletihan menjadi identiti baharu kehidupan profesional.
Budaya “sentiasa available” akhirnya mencipta generasi pekerja yang penat secara emosi tetapi sukar berhenti. Keadaan menjadi lebih rumit apabila masyarakat moden mula mengukur komitmen berdasarkan tahap kesibukan.
Individu yang lambat membalas mesej dianggap tidak produktif, sedangkan mungkin sedang fokus menyelesaikan tugasan besar.
Dalam dunia kerja digital, manusia semakin sukar membezakan antara sibuk dan berkesan. Akhirnya, masa depan WFH tidak boleh hanya dibincangkan dari sudut teknologi atau polisi organisasi semata-mata.
Perbincangan sebenar perlu menyentuh persoalan lebih besar tentang disiplin, integriti, kesihatan mental dan budaya kerja manusia moden.
Kita sedang memasuki era kerja yang memerlukan tahap kematangan psikologi lebih tinggi berbanding sebelumnya. Dunia kerja masa depan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pengawasan fizikal.
Sebaliknya, sistem moden semakin bergantung kepada keupayaan manusia mengurus kebebasan secara bertanggungjawab. Majikan perlu berhenti melihat pekerja sebagai individu yang perlu sentiasa dikawal.
Dalam masa yang sama, pekerja juga perlu berhenti menyalahgunakan fleksibiliti sehingga merosakkan kepercayaan organisasi. Budaya kerja masa depan memerlukan keseimbangan antara autonomi dan akauntabiliti.
Akhirnya, persoalan terbesar tentang WFH bukan sama ada manusia bekerja di rumah atau di pejabat. Persoalan sebenar ialah sama ada manusia masih mempunyai integriti untuk bekerja dengan jujur ketika tiada siapa memerhati.
Dalam dunia digital hari ini, kamera dan audio boleh dimatikan, status boleh dipalsukan, namun aplikasi platform bekerja masih boleh dibiarkan terbuka sepanjang hari.
Tetapi, ada satu perkara yang tidak boleh dimanipulasi sepenuhnya, iaitu amanah terhadap kerja yang dipikul. Walaupun tidak ada ketua yang memerhati, namun ada Tuhan yang sentiasa melihat.
-- BERNAMA
Nurul Nisha Mohd Shah ialah pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau dan Mohd Radzman Basinon ialah Pengarah Kreatif, Sixtysix Action Academy.