Hobi merupakan satu bentuk aktiviti yang mampu memberikan ketenangan jiwa, meningkatkan kesihatan serta menjadi medium untuk membina hubungan sosial yang positif.
Sama ada berbasikal, mendaki gunung mahupun berkhemah, semuanya menawarkan pengalaman berharga yang mampu memperkayakan kehidupan seseorang.
Namun begitu, sesuatu yang baik boleh bertukar menjadi tidak baik apabila minat tersebut berkembang menjadi ketaksuban sehingga menguasai pemikiran, emosi dan gaya hidup seseorang.
Dalam Islam, kesederhanaan atau wasatiyyah sentiasa menjadi prinsip utama dalam menjalani kehidupan. Allah SWT berfirman dalam Surah Luqman ayat 18:
"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu daripada manusia kerana sombong, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri."
Ayat ini mengingatkan bahawa sifat bangga diri dan merasakan diri lebih baik daripada orang lain adalah antara sikap yang perlu dijauhi.
Ukuran kehebatan
Dalam dunia hobi hari ini, tanpa disedari ada yang mula menjadikan pencapaian, peralatan atau pengalaman mereka sebagai ukuran kehebatan diri.
Dalam komuniti berbasikal misalnya, aktiviti ini sememangnya membawa banyak manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental.
Kayuhan yang konsisten mampu meningkatkan kecergasan jantung, mengurangkan tekanan serta mengeratkan silaturahim sesama rakan.
Namun, apabila seseorang mula terlalu taksub, fokusnya bukan lagi kepada kesihatan atau persahabatan, sebaliknya kepada pengiktirafan dan pujian.
Ada yang terlalu menitikberatkan jenama basikal, aksesori terkini atau rekod jarak kayuhan sehingga timbul rasa lebih hebat daripada orang lain.
Tidak kurang juga yang sanggup berbelanja di luar kemampuan semata-mata mahu memenuhi standard tertentu dalam kelompok sosial mereka.
Dalam keadaan tertentu, ada yang mengabaikan masa bersama keluarga kerana hampir setiap hujung minggu dihabiskan untuk mengejar kayuhan yang lebih jauh atau lebih mencabar.
Perkara yang sama boleh berlaku dalam aktiviti mendaki gunung. Pada asasnya, mendaki mengajar seseorang tentang kesabaran, disiplin dan penghargaan terhadap alam ciptaan Allah SWT.
Namun apabila matlamat berubah daripada menikmati pengalaman kepada mengejar status, maka timbullah pelbagai masalah.
Ada pendaki yang mengukur nilai diri berdasarkan jumlah puncak yang berjaya ditawan. Ada juga yang mengambil risiko melampau semata-mata mahu mendapatkan gambar menarik atau kandungan media sosial yang boleh menarik perhatian ramai.
Dalam sesetengah kes, sikap terlalu yakin dan ingin membuktikan kehebatan diri menyebabkan aspek keselamatan diketepikan. Akibatnya, berlaku kecederaan, kehilangan arah malah ada yang memerlukan operasi menyelamat yang melibatkan kos dan tenaga yang besar.
Begitu juga dalam aktiviti berkhemah. Aktiviti yang asalnya bertujuan mendekatkan diri dengan alam semula jadi kini kadangkala berubah menjadi pertandingan tidak rasmi untuk menunjukkan siapa memiliki peralatan paling mahal atau tapak perkhemahan paling mewah.
Hakikatnya, tujuan utama berkhemah ialah menikmati ketenangan alam, mempelajari kemahiran hidup serta mengeratkan hubungan sesama keluarga dan rakan-rakan. Apabila tumpuan terlalu diberikan kepada kemewahan dan imej, nilai sebenar aktiviti tersebut semakin terhakis.
Islam juga mengingatkan umatnya agar tidak melakukan pembaziran. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra' ayat 27: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan."
Ayat ini sangat relevan apabila ada individu yang sanggup berbelanja secara berlebihan demi memenuhi kehendak hobi sehingga mengabaikan keperluan yang lebih utama.
Tidak salah memiliki peralatan yang baik dan berkualiti, tetapi adalah lebih bijaksana jika setiap perbelanjaan dibuat mengikut kemampuan dan keutamaan hidup.
Selain itu, Rasulullah SAW turut mengingatkan tentang bahaya riak dalam setiap amalan.
Riak bukan sahaja berlaku dalam ibadah, bahkan boleh muncul dalam apa jua bentuk perbuatan apabila tujuan utama berubah daripada manfaat kepada keinginan mendapatkan pujian manusia.
Apa yang pada mulanya sekadar perkongsian pengalaman boleh bertukar menjadi medan untuk menunjukkan kehebatan diri jika tidak dikawal dengan baik.
Harmonious Passion dan Obsessive Passion
Dari sudut psikologi pula, ahli psikologi Kanada, Robert J. Vallerand memperkenalkan konsep Harmonious Passion dan Obsessive Passion.
Menurut beliau, seseorang boleh mempunyai minat yang sihat apabila hobi tersebut berada dalam keseimbangan dengan aspek kehidupan yang lain.
Keadaan ini dikenali sebagai harmonious passion, iaitu minat yang memberikan kegembiraan tanpa menjejaskan tanggungjawab serta hubungan sosial.
Sebaliknya, obsessive passion berlaku apabila seseorang terlalu terikat dengan hobinya sehingga kehidupan mula berputar sepenuhnya di sekeliling aktiviti tersebut.
Dalam keadaan ini, individu cenderung mengabaikan keluarga, pekerjaan, kesihatan atau komitmen lain demi memenuhi keinginan terhadap hobinya. Apa yang pada asalnya memberi manfaat akhirnya menjadi punca tekanan dan konflik.
Hakikatnya, hobi sepatutnya menjadi pelengkap kehidupan, bukannya menguasai kehidupan. Berbasikal tidak menjadikan seseorang lebih mulia daripada mereka yang tidak berbasikal.
Mendaki gunung tidak menjadikan seseorang lebih hebat daripada mereka yang memilih aktiviti lain. Begitu juga berkhemah, ia bukan ukuran tahap keperibadian atau status seseorang.
Nilai sebenar sesuatu hobi bukan terletak pada sejauh mana kayuhan yang berjaya dilakukan, setinggi mana gunung yang berjaya ditawan atau semahal mana peralatan yang dimiliki.
Sebaliknya, nilai tersebut terletak pada manfaat yang diperoleh, ilmu yang dipelajari, persahabatan yang dibina dan kesyukuran yang semakin bertambah kepada Allah SWT.
Akhirnya, setiap hobi akan menjadi lebih bermakna apabila dilakukan dengan niat yang baik, sikap rendah diri dan pendekatan yang sederhana.
Nikmatilah berbasikal untuk menjaga kesihatan, mendakilah untuk menghargai keindahan alam dan berkhemahlah untuk mendekatkan diri dengan alam ciptaan Tuhan.
Jangan sampai minat yang sepatutnya menjadi sumber kebahagiaan bertukar menjadi punca riak, pembaziran dan kemudaratan. Dalam apa jua perkara, kesederhanaan sentiasa menjadi jalan terbaik agar manfaatnya dapat dinikmati secara berpanjangan dan membawa kebaikan kepada diri serta masyarakat.
--BERNAMA
Suriayati Baharom ialah Ketua Unit Media dan kewartawanan di Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)