TINTA MINDA

Ibadah Haji: Satu Manifestasi Integriti Diri

10/06/2026 01:01 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Norhanizah Johari

Zulhijjah hampir melabuhkan tirainya. Usai sudah Hari Arafah dan Aidiladha yang disambut penuh makna oleh seluruh umat Islam di dunia.

Zulhijjah adalah bulan Islam terakhir bagi setiap tahun Hijrah yang sangat istimewa kerana terhimpun di dalamnya ibadah yang sinonim dengan umat Islam iaitu Ibadah Haji dan korban.

Dalam bulan ini, individu yang telah sampai giliran menunaikan ibadah Haji akan berangkat sebagai ‘Tetamu Allah’ ke Tanah Suci Barokah iaitu ke Kota Madinah dan Kota Mekah, manakala bagi yang tidak menunaikan Haji digalakkan menyempurnakan ibadah korban.

Menjadi Tetamu Allah atau Dhuyufurrahman adalah satu proses yang panjang. Ia menuntut kesabaran dan konsistensi individu bukan sahaja untuk mencukupkan tabungan tetapi yang lebih penting menunaikan ibadah itu dengan ilmu dan kefahaman yang jelas.

Ini kerana pekerjaan dalam rukun dan wajib haji menuntut individu untuk melakukan pergerakan fizikal dan spiritual dengan ilmu agar tidak melanggar hukum hakam yang membawa kepada berdosa dan didenda.

Tempoh Haji bukan sekadar satu kembara perjalanan fizikal ke Tanah Suci, malah ia adalah sebuah transformasi rohani yang signifikan bagi individu mengenali kekuatan dan kelemahan diri untuk diperbaiki.

Oleh itu, ibadah Haji adalah satu proses penyucian diri yang membawa individu kembali kepada fitrah, iaitu bersih daripada sifat tercela (mazmumah) , dan menyuburkan integriti diri dengan sikap mahmudah seperti amanah, jujur dan telus semata-mata kerana Allah.

Haji sebagai sekolah integriti spiritual

Setiap pelaksanaan rukun dan wajib Haji mengandungi mesej moral yang mendalam. Pakaian ihram misalnya melambangkan kesamarataan manusia tanpa mengira pangkat, kedudukan, atau kekayaan.

Ia menanggalkan simbol status duniawi dan menggantikannya dengan kesedaran bahawa semua manusia adalah sama di sisi Allah.

Keseragaman ini membentuk asas integriti iaitu kejujuran dalam diri (self-integrity), apabila seseorang itu sedar bahawa nilai sebenar diri bukan pada kedudukan sosial, tetapi pada ketakwaan dan amal soleh di sisi Allah.

Larangan Ihram yang melibatkan 13 perkara antaranya tidak boleh bertengkar, berkata kotor, atau melakukan perkara-perkara yang merosakkan ibadah Haji mendidik disiplin moral yang tinggi. Ini adalah latihan pengawalan diri (self-regulation) yang menjadi asas kepada integriti peribadi dalam kehidupan seharian individu.

Dalam konteks ini, falsafah Haji boleh difahami sebagai satu proses pembinaan integriti diri secara menyeluruh, iaitu integriti individu terhadap Allah dan Rasulullah SAW, terhadap diri sendiri, dan terhadap keluarga serta masyarakat.

Falsafah Haji mengangkat prinsip integriti dalam membina jati diri iaitu melakukan perkara-perkara yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulullah SAW, serta meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah dan Rasulullah SAW.

Pelajaran besar integriti sosial melalui haji

Berkelana di bumi Mekah dan Madinah sepanjang musim Haji adalah tempoh ‘me time’ terbaik bagi setiap jemaah. Inilah masa di mana jemaah lebih fokus kepada ibadah berbanding soal dunia.

Semua beribadah dalam satu tujuan yang sama iaitu mendapat keampunan dan keredhaan Allah. Semua jemaah dianggap sama tanpa gelaran, pangkat, dan darjat.

Apabila manusia sedar bahawa semua adalah sama tanpa hierarki sosial, maka perbezaan hierarki ini bukan lagi ukuran, sebaliknya yang lebih penting adalah hierarki kita di sisi Allah Yang Maha Esa.

Seperti Firman Allah SWT dalam Surah Al Hujurat, Ayat 13:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Usai tempoh Masyair di Arafah, Muzdhalifah dan Mina, jemaah akan kembali semula ke Mekah untuk menyempurnakan Tawaf Haji, Saie dan bergunting. Maka selesailah tempoh pantang larang Haji dan sempurnalah Haji.

Ke semua proses yang dilalui sepanjang Haji dan ziarah adalah satu bentuk rantaian integriti sosial yang bukan hanya bersifat individu, tetapi adalah satu bentuk tanggungjawab sosial yang berlandaskan ketauhidan kepada Allah. Jaringan integriti ini terus berkembang apabila masing-masing pulang semula ke tanah air.

Integriti diri dalam dunia kontemporari

Cabaran sebenar untuk mengekalkan nilai integriti adalah selepas seorang Haji atau Hajah kembali semula ke tanah air, kembali ke kehidupan normal.

Dalam era moden yang penuh cabaran seperti krisis sosial, tekanan mental dan emosi, rasuah, salah guna kuasa, dan krisis kepercayaan awam, nilai integriti dan jati diri yang dilalui semasa tempoh Haji menjadi sangat relevan kepada individu dalam mendepani pelbagai krisis sosial masa kini.

Ibadah Haji mampu berfungsi sebagai mekanisme transformasi etika. Transformasi ini sepatutnya melahirkan individu yang lebih jujur dalam urusan harian, amanah dalam pekerjaan, sederhana dalam gaya hidup dan berdisiplin dalam kehidupan.

Falsafah Haji mengingatkan bahawa integriti bukan hanya tuntutan organisasi, tetapi bermula daripada diri individu.

Seseorang yang benar-benar menghayati Haji akan membawa pulang satu kesedaran penting: bahawa setiap tindakan diperhatikan oleh Allah, dan setiap amanah akan dipertanggungjawabkan.

Oleh itu, integriti bukan sekadar slogan, tetapi cara hidup (way of life) yang terbentuk melalui kesedaran spiritual yang mendalam yang membawa transformasi diri kepada kualiti integriti dan jati diri Islami.

Haji adalah manifestasi integriti diri. Ia bukan hanya ritual semata-mata tetapi ia sebuah proses kemenjadian insan. Ia mengajar seseorang individu tentang kesamarataan, disiplin, kesabaran, dan amanah dalam erti kata yang paling tinggi.

Apabila nilai-nilai ini dihayati, maka lahirlah individu yang bukan sahaja sah Hajinya di sisi syarak, tetapi juga tinggi integritinya di sisi masyarakat. Inilah hakikat sebenar Haji, ia bukan sekadar perjalanan ke Kota Suci Mekah dan Madinah, tetapi perjalanan kembali menjadi insan yang lebih berintegriti di sisi Allah SWT.

--BERNAMA

Dr Norhanizah Johari ialah Pensyarah Perakaunan di Jabatan Perakaunan, Fakulti Ekonomi Perakaunan Dan Pengurusan, Universiti Islam Selangor (UIS), boleh dihubungi di talian 019-2616997 atau e-mel norhanizah@uis.edu.my

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)