WILAYAH - TIMUR > BERITA

PENSYARAH ANTARA TIGA PENJAWAT AWAM DITAHAN MILIKI DADAH - POLIS

11/06/2024 05:29 PM

KOTA BHARU, 11 Jun (Bernama) -- Seorang pensyarah di sebuah universiti di Kelantan antara tiga penjawat awam yang ditahan menerusi Ops Tapis Bersepadu dan Ops Bersepadu Sempadan di negeri itu pada 26 Mei hingga 8 Jun lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pensyarah berusia 38 tahun itu ditahan bersama empat rakannya dalam sebuah pacuan empat roda ketika sekatan jalan raya dilakukan dekat Batu 6, Batu Melintang, Jeli, 10.30 malam, 2 Jun lepas.

"Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan tersebut menjumpai empat botol plastik berisi cecair keperangan disyaki air ketum anggaran berat 950 mililiter.

"Ujian saringan air kencing terhadap semua suspek didapati tiga suspek positif dadah jenis Benzo dan seorang suspek negatif dadah," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata dua lagi penjawat awam yang ditahan ialah pembantu awam berusia 27 tahun di Kota Bharu dan pemandu kenderaan di sebuah agensi kerajaan berusia 35 tahun di Gua Musang, masing-masing pada 4 dan 7 Jun.

"Ujian air kencing terhadap pembantu awam itu positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai dua rekod kesalahan lampau kes dadah, manakala pemandu kenderaan pula negatif dadah.

"Ketiga-tiga suspek disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Muhamad Zaki berkata menerusi operasi yang dilakukan sepanjang tempoh terbabit, seramai 1,251 orang ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Racun 1952. 

"Kesemua yang ditangkap berumur antara 15 hingga 62 tahun terdiri daripada 1,227 lelaki dan 24 perempuan termasuk tiga penjawat awam.

"Pelbagai jenis dadah berjaya dirampas yang dianggarkan bernilai lebih RM247,229 serta pelbagai harta turut disita terdiri daripada kenderaan dan wang tunai dianggarkan bernilai lebih RM86,887," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan