WILAYAH - UTARA > BERITA

15 LOKASI LONGGOKAN SAMPAH DIKESAN SEPANJANG SUNGAI MERBOK

12/06/2024 12:49 PM

SUNGAI PETANI, 12 Jun (Bernama) -- Sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab menyebabkan berlakunya kira-kira 15 kawasan longgokan sampah haram di sekitar hutan paya bakau, sepanjang jajaran Sungai Merbok, dekat sini.

Pegawai Daerah Kuala Muda Datuk Abdul Gafar Yahya berkata tindakan  itu bukan sahaja mencemarkan alam sekitar tetapi juga boleh menjejaskan ekosistem kawasan tersebut selain mengancam hidupan laut yang menjadi punca rezeki kepada nelayan-nelayan kecil.

“Kebanyakan sampah ini merupakan sisa dari kegunaan harian termasuklah plastik dan sebagainya...dan perkara ini sudah berlarutan sejak sekian lama...lebih 50 tahun dahulu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi pembuangan sampah secara haram di pesisir Sungai Merbok dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata langkah memberi kesedaran kepada masyarakat sekitar telah dilaksanakan sebelum ini agar tiada lagi aktiviti pembuangan sampah dilakukan di situ namun perkara tersebut masih berlaku.

Menurut Abdul Gafar terdapat puluhan spesis bakau di sepanjang sungai tersebut yang berpotensi menjadi tarikan pelancong dan masyarakat seharusnya sedar tindakan membuang sampah boleh merosakkan pemandangan.

 

Beliau berkata kawasan terbabit tidak termasuk dalam kawasan penyelenggaraan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihaknya akan mengenal pasti langkah sesuai untuk menguruskan isu berkenaan.

 

Abdul Gafar berkata satu pertemuan akan diadakan bersama pemimpin setempat serta menganjurkan program kesedaran bersama masyarakat dalam tempoh terdekat sebagai satu daripada langkah menghijaukan semula kawasan itu.

“Tabiat yang berlarutan sejak sekian lama ini perlu diubah...sampah yang tidak diurus dengan baik bukan hanya mencemarkan alam tetapi juga mengundang kepada pelbagai masalah lain.

“Tahun 2025 merupakan Tahun Melawat Kedah...satu kerugian jika sikap membuang sampah merata-rata seperti ini belum diubah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan