WILAYAH - SARAWAK > BERITA

U MOBILE SEDIA BINA RANGKAIAN 5G KEDUA SELEPAS SSA DENGAN DNB SELESAI

20/06/2024 11:04 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- U Mobile bersedia untuk melengkapkan proses perjanjian langganan saham (SSA) dengan Digital Nasional Bhd (DNB) bagi membolehkan peralihan kepada model dwi rangkaian 5G negara.

Syarikat telekomunikasi berkenaan dalam kenyataan hari ini berkata, ia yakin berada dalam kedudukan baik untuk melancarkan rangkaian 5G kedua sekiranya perlu, untuk membantu kerajaan merealisasikan hasrat memiliki dua rangkaian 5G bagi memacu persaingan dan memastikan kemampanan ekosistem telekomunikasi di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile Wong Heang Tuck berkata, memandangkan syarikat melangkah kepada fasa pertumbuhan seterusnya, ia komited untuk memeterai perjanjian pemegang saham dengan DNB selepas proses SSA selesai dan bersedia untuk melancarkan rangkaian 5G kedua.

“Kami berada dalam kedudukan optimum untuk melancarkan rangkaian 5G kedua, selain kepakaran dan pengalaman kami, kami juga biasa memanfaatkan teknologi terkini untuk memacu penggunaan 5G dan memperlihatkan manfaat ekonomi yang akan dibawakan teknologi itu kepada pengguna, perniagaan dan sektor awam,” katanya dalam kenyataan sama. 

Wong berkata syarikat juga akan menilai kes penggunaan untuk menunjukkan manfaat 5.5G sebagai antara usaha untuk menyokong pelan hala tuju digital negara.

Baru-baru ini, syarikat telekomunikasi itu melengkapkan pembuktian konsep rangkaian persendirian 5G bagi industri logistik menerusi kerjasama dengan rakan kongsi untuk mendigitalkan pemeriksaan kontena selaku elemen penting dalam proses logistik.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan