WILAYAH - UTARA > BERITA

GANESAN, 'MEKANIK' KERETA API TERUSKAN LEGASI KELUARGA

14/06/2024 08:59 AM

Oleh Syamsiah Sahat

IPOH, 14 Jun (Bernama) -- Mungkin kita biasa melihat kenderaan seperti motosikal, kereta mahupun lori dibaik pulih atau diselenggara, tetapi jarang pula halnya dengan gerabak kereta api atau lokomotif.

Namun senario ini dapat diihat di Jalan Tun Abdul Razak di sini seawal pukul 8 pagi bilamana S.Ganesan,49, bersama sekumpulan pekerjanya termasuk jurutera menjalankan kerja-kerja menyelenggara gerabak kereta api dan lokomotif yang dihantar oleh pelanggan ke ‘bengkel’nya itu.

“Bidang ini cukup ‘niche’, pelanggannya tidak ramai, tetapi terdiri daripada syarikat-syarikat besar. Saya mula mengambil alih perniagaan ini daripada bapa saya, mendiang Datuk S Suppiah pada tahun 2018.

“Daripada ‘zero’ tidak ada sebarang ilmu mengenai penyelenggaraan gerabak kereta api, saya belajar sedikit demi sedikit daripada bapa dan pekerja di sini,” kata Ganesan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Railfreight Engineering and Logistic Sdn Bhd.

Menyingkap mengenai sejarah dirinya dengan dunia kereta api, anak jati Ipoh ini dan juga siswazah teknologi maklumat dari sebuah kolej swasta ini mempunyai sejarah unik kerana beliau adalah generasi keempat dalam keluarganya yang bekerja dalam bidang berkaitan kereta api.

Menurut Ganesan, mendiang moyangnya Ayadurai yang berasal dari Jaffna, Sri Lanka, pernah bekerja dengan Malayan Railway sebagai penyelenggara landasan, datuknya Selvaratnam pula bekerja di syarikat sama sebagai ketua bahagian tempahan tiket manakala bapanya pernah bekerja dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebagai pemandu forklift sebelum membuka syarikatnya sendiri. 

Walaupun pada mulanya cuba ‘lari’ daripada bidang tersebut dengan bekerja sebagai penganalis teknikal di sebuah syarikat telekomunikasi di Shah Alam, namun sebagai anak lelaki tunggal daripada dua beradik akhirnya Ganesan mengambil keputusan membantu bapanya di syarikat berkenaan.

Antara khidmat yang ditawarkan syarikatnya termasuk kerja-kerja baik pulih melibatkan gerabak dengan kerosakan ringan atau kerosakan teruk akibat kemalangan.

“Selain itu kami menawarkan khidmat ‘overhaul’ iaitu penggantian komponen gerabak dan lokomotif juga ‘sand blasting’ dan mengecat badan gerabak. Untuk melakukan ujian selepas proses ‘overhaul’ kita mempunyai landasan sendiri untuk tujuan itu, jadi pelanggan tidak perlu mengangkut gerabak atau lokomotif tersebut ke tempat mereka untuk melakukan ujian,” kata bapa kepada tiga orang cahaya mata ini.

Landasan syarikat Ganeson sepanjang kira-kira 1.5 kilometer itu dihubungkan ke Stesen Keretapi Ipoh bagi memudahkan gerabak atau lokomotif syarikat pelanggan dari negeri-negeri yang mempunyai hubungan dengan stesen itu.

Antara pelanggan yang menggunakan khidmat Railfreight Engineering and Logistic ialah KTMB dan syarikat-syarikat pengeluar gula, simen dan komoditi lain.

“Kebiasaannya syarikat-syarikat ini menggunakan gerabak untuk mengangkut produk mereka dari satu lokasi ke lokasi yang lain di seluruh semenanjung khususnya. Jika menggunakan jalan kereta api, sehingga sebanyak 60 gerabak boleh digunakan sekali gus untuk mengangkut produk mereka,” katanya yang juga pernah bekerja sebagai pensyarah kolej.

Ganesan berkata, sistem lokomotif tidak jauh berbeza dengan sistem kenderaan lain melainkan sistem brek yang menggunakan tujahan kuasa angin kerana ia bergerak di atas landasan.

“Terdapat dua jenis sistem enjin lokomotif iaitu diesel hidraulik yang hampir sama dengan kereta, (ada enjin atau kotak gear), mereka yang belajar mengenai bidang mekanikal boleh faham sistem ini dengan mudah, manakala satu lagi jenis diesel elektrik atau elektrik sepenuhnya yang agak maju.

“Bagi mereka yang berminat dalam bidang ini, ada universiti yang menawarkan bidang ini seperti di UniKL atau boleh bekerja dengan syarikat logistik seperti KTMB atau syarikat seperti syarikat kami,” katanya yang dibantu tiga jurutera mahir dan 12 pembantu teknikal di premisnya.

Memandang ke hadapan, Ganesan berharap agar dua anak lelakinya akan meneruskan legasi keluarganya dalam memberikan khidmat berterusan kepada bidang logistik negara dengan mengambil alih tempatnya di syarikat tersebut pada suatu masa nanti.

“Walaupun anak lelaki sulung berusia 12 tahun ada menunjukkan minat, namun saya juga sedar generasi zaman ini tidak boleh dipaksa, mereka mempunyai pemikiran tersendiri, tetapi saya tetap berharap…,” luahnya.

Beliau menambah, syarikatnya juga mengorak langkah membawa teknologi lebih maju dalam bidang logistik dengan mula mengeluarkan lokomotif yang boleh bergerak di atas jalan raya dan juga landasan, hasil kerjasama dengan syarikat dari luar negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan