WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAHB AKAN RAIH MANFAAT DARIPADA REKOD PRESTASI CEMERLANG GIP DALAM MENGURUS, MENGENDALIKAN LAPANGAN TERBANG

21/06/2024 02:04 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Global Infrastructure Partners (GIP) dalam Gateway Development Alliance (GDA) yakin Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan mendapat manfaat daripada pelaburan yang tinggi, tahap perkhidmatan yang lebih baik dan pertumbuhan penumpang yang kukuh. 

Ketua Bahagian Pengangkutan di GIP dan Pengarah GDA Phil Iley berkata GIP telah mengambil alih kepentingan dalam Signature Aviation pada 2021, yang memiliki dan menguruskan lebih 200 kemudahan penerbangan swasta di 27 negara, sekali gus menjadikannya sebagai rangkaian pengendali pangkalan tetap terbesar di dunia.

Pengambilalihan itu menggariskan pengalaman luas kami dalam menguruskan rangkaian global aset penerbangan, katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama. 

Pada 15 Mei lepas, GDA dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh Konsortium, pada harga tawaran sebanyak RM11 sesaham yang bersamaan dengan RM18.4 bilion.

Konsortium itu diterajui oleh dua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan Malaysia - Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Iley berkata GIP membawa pengalaman selama beberapa dekad dalam menguruskan dan mengoperasikan lapangan terbang menerusi pelaburannya di Lapangan Terbang Sydney, Lapangan Terbang London Gatwick, Lapangan Terbang Edinburgh, Signature Aviation dan sebelum ini, Lapangan Terbang London City.

“Kesemua lapangan terbang kami telah menerima manfaat dari segi peningkatan pelaburan, penambahbaikan mutu perkhidmatan, pengurangan kesesakan dan waktu menunggu buat penumpang, kedai komersial berkualiti tinggi dan pertumbuhan penumpang yang pesat. Kami percaya perkara yang sama dapat diterjemahkan di MAHB.

“Lapangan terbang merupakan nadi penggerak aktiviti ekonomi, pelancongan dan pelaburan yang masuk serta kami yakin MAHB yang ditambah baik akan memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia yang akan membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.

Iley menegaskan bahawa GIP dan rakan-rakannya optimis dan komited untuk membawa MAHB ke tahap yang lebih tinggi.

Mereka melihat prospek yang amat baik untuk MAHB kembali meningkatkan kedudukan pasaran mereka dan memulihkan jaringan rangkaian penerbangan mereka yang berada di bawah paras optimum sejak beberapa tahun ini.

 

GIP akan meningkatkan pelaburan di KLIA, Pulau Pinang, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu

Bagi meningkatkan lagi sektor pelancongan, katanya selain daripada Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), GIP merancang untuk meningkatkan jumlah penerbangan dan pelaburan di lapangan terbang serantau utama seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu serta Sabiha Gokcen di Istanbul.

Oleh itu, GIP perlu mengambil keputusan pelaburan jangka panjang dengan rakan strategik mereka untuk memastikan lapangan terbang di bawah MAHB memiliki kapasiti yang mencukupi bagi beberapa dekad yang mendatang.

“Seandainya transformasi ini berjaya dilaksanakan, kami akan mempertimbangkan penyenaraian semula MAHB dalam pasaran saham Malaysia pada masa depan,” katanya.

Mengenai pegangan sahamnya dalam MAHB, Iley berkata walaupun GIP hanya merupakan pemegang saham minoriti, ia akan memainkan peranan selaku rakan strategik teknikal dalam GDA dan menyediakan MAHB dengan seberapa banyak sokongan dan bantuan operasi yang mereka perlukan.

“GIP merupakan pelabur ekuiti dan kami mahu senada sepenuhnya dengan rakan strategik kami dari Malaysia dalam mengambil keputusan pelaburan jangka panjang.

“Kami percaya bahawa pemilikan ekuiti merupakan jalan terbaik bagi memacu penambahbaikan dalam sesebuah perniagaan kerana ia memberikan insentif terbaik dan memastikan pemegang saham berada dalam kedudukan yang selari untuk menyumbang sumber dan kepakaran,” katanya.

Mengenai hubungan antara GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA), Iley berkata rakan strategik dari Malaysia akan memiliki 70 peratus pegangan dalam MAHB manakala GIP dan ADIA akan memiliki 30 peratus lagi melalui GIP Aurea Pte Ltd.

Kerajaan Malaysia akan mengekalkan pemilikan saham khas dalam MAHB.

GIP merupakan syarikat antarabangsa dengan operasi di 13 negara di rantau Asia serta telah melabur dan menguruskan aset infrastruktur utama negara selama lebih 18 tahun.  

Kini, ia menguruskan aset berjumlah US$112 bilion (RM527.5 bilion) dan melabur dalam 41 syarikat yang menggaji lebih 115,000 pekerja. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan