WILAYAH - UTARA > BERITA

BUDI MADANI BUKTI KERAJAAN TIDAK 'LEPAS TANGAN' TERHADAP KEHIDUPAN RAKYAT

17/06/2024 10:51 AM

Oleh Nurul Syahirah Zulkifli

ARAU, 17 Jun (Bernama) -- Pelaksanaan Budi MADANI dengan pemberian RM200 sebulan kepada golongan sasar selepas penyasaran semula subsidi diesel menunjukkan kerajaan tidak 'lepas tangan' dan membiarkan rakyat mendepani sendiri peningkatan kos sara hidup pada masa ini.

Seorang pesara yang juga memiliki kenderaan pikap menggunakan diesel Nasarudin Noh, 51, dari Pauh dekat sini berkata meskipun ada sesetengah pihak beranggapan RM200 itu sedikit namun baginya jumlah itu patut disyukuri rakyat dibandingkan sekiranya tiada langsung apa-apa bantuan daripada kerajaan.

"Walaupun harga diesel meningkat namun kerajaan memberikan bantuan RM200 kepada golongan yang menggunakan diesel untuk kegunaan harian. Bagi pendapat saya setiap bulan dapat RM200 sudah dikira cukup baik berbanding jika tak dapat apa-apa bantuan," katanya kepada Bernama.

Nasarudin yang mengambil upah menjahit barangan perabot seperti sofa dan kerusi kulit itu berkata beliau banyak menggunakan kenderaan pikapnya untuk menghantar barang pelanggan selain akan ke Perak setiap hujung minggu atas urusan keluarga.

"Selepas penyasaran subsidi diesel ini, masih ada baki sikit minyak dalam tangki kenderaan saya ini,” katanya yang turut memaklumkan permohonannya untuk mendapatkan Budi Individu telah diluluskan.

Nasarudin berkata beliau positif dengan penyasaran subsidi itu kerana langkah itu demi kepentingan negara dan rakyat bagi tempoh jangka panjang selain yakin kerajaan pastinya memperbanyakkan lagi Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADNI untuk membantu rakyat.

Berkongsi pendapat sama, petani dari Simpang Empat dekat sini yang hanya ingin dikenali sebagai Hasbullah, 39, berkata beliau sudah memohon untuk Budi Agri-Komoditi dan bantuan RM200 sebulan itu sangat dinantikannya kerana sedikit sebanyak boleh membantu mengisi diesel untuk lorinya.

"Saya banyak menggunakan lori untuk angkut barang-barang buat bendang (sawah) seperti baja semua ini, jadi saya memerlukan bantuan RM200 ini, walaupun sekarang (selepas penyasaran subsidi diesel) isi penuh tangki RM230, tetapi saya tetap bersyukur dengan bantuan ini, sedikit sebanyak ringan dah beban saya," katanya.

Hasbullah berkata pemberian bantuan RM200 sebulan menerusi Budi MADANI itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kesusahan rakyat menghadapi peningkatan harga diesel dan berharap kerajaan dapat menambah bantuan itu kepada RM300 sebulan pada masa akan datang.

Kerajaan pada 9 Jun lepas mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 10 Jun. 

Berikutan itu, bagi memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak dan mengurangkan beban golongan yang memerlukan, kerajaan memperkenalkan inisiatif BUDI MADANI yang menyediakan bantuan tunai RM200 sebulan.

Pendaftaran untuk BUDI MADANI dibuka mulai 28 Mei lepas dan tiada tarikh tutup untuk permohonan yang boleh dibuat menerusi https:budimadani.gov.my. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan