WILAYAH - TENGAH > BERITA

BEKAS PENGURUS DIDAKWA PECAH AMANAH LEBIH RM600,000

18/06/2024 03:23 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Seorang bekas pengurus kewangan dan sumber manusia sebuah syarikat perhubungan awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah lebih RM600,000 antara April 2022 dan Mei tahun ini.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Fong Chan Tong, 51, didakwa sebagai seorang pengurus kewangan dan sumber manusia di IBR Asia Group, telah melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM601,883 dengan membuat transaksi sebanyak 78 kali ke akaun bank miliknya bagi kegunaaan sendiri.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di IBR Asia Group di Jalan Damansara Taman Tun Dr Ismail, Brickfields di sini antara 29 April 2022 dan 28 Mei lepas, mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Fong juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pilihan iaitu menyalahgunakan wang sama milik syarikat sama yang mana tertuduh tahu wang itu bukan miliknya di lokasi, masa dan tarikh serupa.

Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Farhan Read yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan mempunyai tanggungan isteri dan dua orang anak yang masih belajar.

Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan ikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Julai ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan