WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JPNS WUJUDKAN KELAS PRA-PKKI DI KEM TENTERA SYED SIRAJUDDIN, GEMAS

20/06/2024 02:26 PM

SEREMBAN, 20 Jun (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan kelas pra-Program Pendidikan Khas Integrasi (PKKI) bagi kemudahan anak-anak tentera di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

Pengarah JPNS Datuk Dr Roslan Hussin berkata kelas PKKI yang bermula pada awal bulan itu memudahkan anggota tentera di kem berkenaan menguruskan persekolahan anak masing-masing berbanding terpaksa mendapatkan sekolah bersesuaian iaitu kira-kira lima kilometer di pekan Gemas.  

Beliau berkata usaha itu diambil setelah mendengar keluhan anggota tentera yang mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan terbaik dan tidak ketinggalan dalam arus pendidikan perdana.

“Dalam lawatan kerja di sekolah itu pada awal tahun ini, saya dapati ada keperluan mewujudkan kelas pra-PKKI ini kerana sebelum ini mereka terpaksa hantar anak mereka ke sekolah di luar kem.

“Saya mengambil inisiatif ini dan mencari ruang mewujudkan kelas pra-PKKI ini bagi memudahkan anggota tentera di kem tersebut. Setakat ini terdapat dua guru bimbingan dan enam pelajar telah memulakan  pembelajaran di kelas PKKI ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Roslan juga yakin jumlah pelajar bagi kelas PKKI itu akan bertambah dan lawatan berkala terus dilakukan bagi memastikan murid istimewa ini mendapat pendidikan terbaik.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan