WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FAMA PEMUDAH CARA BANTU PENGUSAHA DURIAN KAMPUNG EKSPORT KE CHINA

22/06/2024 04:37 PM

NIBONG TEBAL, 22 Jun (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah meminta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengadakan perbincangan dengan pengusaha buah durian di kampung-kampung bagi membantu mereka mengeksport durian segar ke China.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata KPKM juga telah meminta FAMA untuk menjadi pemudah cara dan mencari mekanisme untuk membincangkan perkara itu kerana ia merupakan peluang melebarkan perniagaan pengusaha durian di kampung.

"FAMA kena duduk dan berbincang dengan pengusaha durian di kampung bagi membantu memasarkan dan hantar ke China, kalau syarikat besar yang tanam durian (skala besar) seperti di Raub dan Bentung, Pahang serta Gua Musang (Kelantan), mereka itu lain, sebab dah tahu (prosedur dan cara nak eksport).

"Ini yang (tanam durian) di kampung itu, mereka ada yang nak pasarkan ke China, tapi tak reti nak hantar macam mana ke sana, jadi kita minta FAMA jadi pemudah cara dan bincangkan mekanisme untuk membantu mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus bersama pemimpin Pertubuhan Peladang Negeri Pulau Pinang di Dewan Gerakan Masyarakat Sungai Duri, di sini hari ini.

Buah durian segar dari Malaysia kini boleh dieksport ke China menerusi pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China, Rabu lepas.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata bukan hanya durian yang mempunyai gred tinggi atau jenama terkenal sahaja akan dieksport ke China, malah pelbagai jenis variasi termasuk durian kampung premium juga akan dihantar kerana permintaan meluas durian di negara tersebut.

"Asal pelanggan di sana (China) mahukan, kita akan hantar pelbagai variasi dan jenis durian kerana penduduk di China pun ada yang tak mampu nak beli durian yang mahal dan ada dalam kalangan mereka memilih durian lain, bukan hanya "musang king" dan "black thorn" sahaja.

"Di sana mereka beli sebiji durian harga antara RM100 hingga RM150 dan pada mereka itu harga normal, jadi berdasarkan ramalan, mungkin kita dapat mengeksport durian berbilion ringgit setiap tahun lepas ini," katanya.

Pada 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatat nilai RM1.14 bilion. Secara keseluruhan, durian merupakan penyumbang utama iaitu 58.6 peratus kepada nilai eksport buah-buahan negara pada 2022 daripada keseluruhan nilai eksport buah-buahan yang bernilai RM2.01 bilion. 

China merupakan pasaran eksport utama durian dari Malaysia dengan nilai RM887 juta pada 2022 dan nilai eksport durian dijangka akan terus meningkat kepada RM1.8 bilion pada 2030.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan