WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INDUSTRI MARITIM TEGUH AKAN LONJAK PERTUMBUHAN EKONOMI, KESELAMATAN

22/06/2024 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Industri maritim yang kukuh bukan sahaja meningkatkan pertumbuhan ekonomi malah juga akan memastikan keupayaan Malaysia untuk melindungi kepentingannya dan bertindak balas secara berkesan terhadap kecemasan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook

Beliau berkata penekanan dan meningkatkan tanan maritim negara akan memberi impak positif kepada kemakmuran ekonomi dan keselamatan negara.

“Dalam dunia yang saling terhubung masa kini, pengedaran barangan keperluan yang cekap di seluruh Malaysia adalah penting. Trend global terkini menyaksikan banyak negara mengutamakan pertumbuhan tanan domestik masing-masing.

“Penting untuk kita meningkatkan keupayaan perkapalan kita bagi memperoleh rantaian bekalan yang boleh dipercayai dan cekap,” katanya ketika menyempurnakan perasmian perjalanan dan persinggahan sulung kapal kontena, MV MTT Bintangor di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, pada Sabtu.

Loke menegaskan pengangkutan barangan keperluan yang cekap antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat adalah penting.

Beliau juga berkata memperkukuh sektor maritim akan membantu mengurangkan defisit imbangan pembayaran, terutama dari segi kos pengangkutan barangan dan insurans, dengan mengekalkan nilai ekonomi dalam sempadan Malaysia.

“Kerajaan mengesahkan sokongannya terhadap industri perkapalan domestik, bertujuan meningkatkan kesalinghubungan antara pelabuhan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata MTT Shipping Sdn Bhd telah melakar pencapaian penting susulan kejayaan kapal kontena yang baru dibina, MV MTT Bintangor.

“Ketibaan kapal ini menandakan kemajuan ke arah matlamat maritim kita, dan komitmen MTT Shipping untuk meningkatkan kapasiti perkapalan domestik adalah dipuji.

“Acara ini juga memperingati pemerolehan MTT Shipping bagi kapal baharu ke-15, dengan rancangan untuk sembilan lagi kapal menjelang akhir 2024,” katanya.

Beliau berkata kapal itu bukan sahaja membuktikan pertumbuhan MTT Shipping malah juga mengukuhkan sektor maritim Malaysia.

“Hari ini adalah detik penting bagi industri perkapalan di Malaysia, mempamerkan daya tahan dan pertumbuhannya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan