WILAYAH - SARAWAK > BERITA

YMSC CIPTA REKOD MBOR, BERI 10,200 PEK MI GORENG DALAM 24 JAM

23/06/2024 09:57 PM

GEORGE TOWN, 23 Jun (Bernama) -- Young Muslim Sports Club (YMSC) dengan kerjasama keluarga Seeni Food & Beverage Sdn Bhd mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya mencapai sasaran memberikan 10,200 pek mi goreng sotong secara percuma selama 24 jam.  

Sijil pengiktirafan diserahkan oleh Pegawai MBOR Edwin Hoh kepada Presiden YMSC Munower Sadiq MKE Kader Sultan dengan disaksikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam satu majlis yang berlangsung di Padang Kota Lama di sini hari ini. 

Munower Sadiq berkata kejayaan itu tidak akan tercipta tanpa bantuan ahli jawatankuasa YMSC serta tiga generasi keluarga tukang masak iaitu Sheik Abidin AKM Mustaffa, 78 (datuk), Seeni Mohamed Sheik Abidin, 46 (bapa) dan Syed Muhammad Hafiz Seeni Mohamed, 24 (anak), menerusi program Most Mee Goreng Sotong Giveaway.

"Saya ucapkan tahniah serta syabas kepada seluruh jentera yang bertungkus-lumus siang dan malam bersama dengan tiga generasi ini untuk menggoreng mi tanpa henti.

"Dengan usaha mereka, kami turut berjaya memperkenalkan makanan tradisi Pulau Pinang ini kepada pelancong luar. Orang Melaka, Kedah, Ipoh, Perlis, semua ada datang," katanya ketika ditemui Bernama di Padang Kota Lama di sini hari ini.  

Sementara itu, Syed Muhammad Hafiz berkata antara cabaran yang dihadapi apabila terpaksa mengorbankan waktu tidur untuk membuat persiapan bagi memastikan cubaan memecah rekod tersebut berjaya.

"Persiapan untuk memasak mi goreng sotong ini mengambil masa 72 jam dan dalam tempoh itu kita tak tidur. Kita bermula dengan menyediakan segala dokumen dan membawa bahan mentah sebelum berjuang selama 24 jam tanpa henti menggoreng 10,000 pek mi.

“Tujuan kami cipta rekod dalam MBOR ini juga bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-45 Seeni Food. Saya sangat terharu, gembira dan bangga dengan kejayaan ini," katanya.

Chow dalam ucapannya pula berkata usaha itu membuktikan rakyat negeri ini turut memainkan peranan aktif dalam memajukan Pulau Pinang.

"Usaha ini bertetapan dengan Visi Penang2030 iaitu 'Memperkasa Rakyat bagi Meningkatkan Penyertaan Awam' yang melahirkan masyarakat aktif, kreatif dan kritis ke arah masyarakat MADANI," katanya.

Program Most Mee Goreng Sotong Giveaway dijalankan selama 24 jam bermula 5 petang semalam hingga 5 petang ini di Padang Kota Lama dan ia telah mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan